Kes serang wartawan: Fahmi harap siasatan segera, tidak kompromi aspek keselamatan

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berharap siasatan berhubung kejadian pukul melibatkan wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Haresh Deol di Bangsar pada Selasa, dapat dijalankan segera.
Fahmi berkata, keselamatan pengamal media, khususnya ketika mereka menjalankan tugas tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
"Saya dimaklumkan tentang insiden ini ketika menghadiri program di Kota Kinabalu, saya telah menghubungi saudara Haresh untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian yang berlaku petang tadi.
"Haresh memaklumkan bahawa beliau baru selesai membuat laporan polis dan sedang menyelesaikan urusan laporan perubatan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Haresh, yang merupakan pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 menerusi hantaran di laman X memaklumkan diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat kejadian itu yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi. - Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ingin siasatan kes pukulan wartawan Haresh Deol segera dijalankan
- Keselamatan pengamal media harus dijaga semasa menjalankan tugas
- Fahmi telah berhubung dengan Haresh untuk mendapatkan maklumat kejadian
- Haresh telah membuat laporan polis dan sedang menguruskan laporan perubatan
- Polis sedang mencari tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden di Jalan Maarof
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
