Polis buru tiga lelaki serang wartawan sukan

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki menyerang dan memukul wartawan sukan Haresh Deol sehingga cedera dalam kejadian di Jalan Maarof, berhampiran parkir pusat beli-belah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berkaitan kejadian kira-kira jam 4 petang.
“Kes terbabit melibatkan tiga suspek yang mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan wartawan sukan.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan (luka) pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Chang Hook berkata, kesemua suspek masih belum dikenal pasti dan tindakan mengesan individu terlibat sedang dijalankan.
“Pegawai penyiasat akan memohon Perintah OTI (Order to Investigate) daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Adnan Alias, di talian 019-2162272,” katanya.
Ringkasan AI
- Polis sedang mencari tiga lelaki yang disyaki menyerang wartawan sukan Haresh Deol
- Kejadian berlaku di Jalan Maarof, berhampiran parkir pusat beli-belah
- Mangsa mengalami kecederaan pada muka, tangan dan badan
- Suspek masih belum dikenal pasti, polis memohon Perintah OTI untuk siasatan lanjut
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
