Ahli perniagaan dakwa dana kebajikan disalah guna untuk jenayah terancang

KUALA TERENGGANU - Seorang ahli perniagaan mendakwa dana sumbangan kebajikan yang disalurkannya disyaki disalah guna pihak tertentu sehingga membawa kepada kemungkinan wujud elemen jenayah terancang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 40 tahun itu tampil membuat laporan jam 11.05 malam di Balai Polis Kuala Terengganu pada 15 November lalu.
Menurutnya, mangsa memberitahu telah melakukan beberapa transaksi menggunakan wang simpanannya sendiri kepada beberapa individu atau pemilik akaun bank antara 2020 hingga 2025.
"Secara keseluruhan, mangsa membuat tujuh transaksi pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM148,000.
"Pembayaran itu dibuat atas dasar kepercayaan bahawa ia akan digunakan bagi urusan majlis agama, pembinaan madrasah dan program bantuan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menerima maklumat bahawa dana tersebut mungkin disalah guna bagi tujuan peribadi atau aktiviti mencurigakan, termasuk kemungkinan berkait pengubahan wang haram dan jenayah terancang.
"Mangsa mengakui tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu terlibat dan tidak terlibat dalam apa-apa bentuk kegiatan jenayah.
"Mangsa berasa tertipu lalu meminta polis menjalankan siasatan serta menuntut semula wang berkenaan sekiranya terbukti berlaku penyelewengan," katanya.
Azli berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Seorang ahli perniagaan mendakwa dana sumbangan kebajikan yang disalurkannya disyaki disalah guna
- Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan laporan dibuat
- Mangsa telah membuat transaksi wang kepada individu atau pemilik akaun bank dari 2020 hingga 2025
- Jumlah keseluruhan transaksi adalah RM148,000, bertujuan untuk majlis agama, pembinaan madrasah dan program bantuan masyarakat
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
