Dua ahli perniagaan ditahan, disyaki kemuka tuntutan palsu RM3.6 juta

SPRM Sabah tahan dua ahli perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah lebih RM3.6 juta.
SPRM Sabah tahan dua ahli perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah lebih RM3.6 juta.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan mesin dan peralatan usahawan serta pensijilan bernilai lebih RM3.6 juta.

Menurut sumber, dua suspek lelaki dan wanita berusia sekitar 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah pada jam 11 pagi, Selasa.

Siasatan awal mendapati kedua-duanya telah mengemukakan dua tuntutan yang mengandungi butir matan palsu di bawah Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada tahun 2022 dan 2023.

Salah satu tuntutan berkenaan adalah bagi pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan yang melibatkan nilai lebih RM400,000 dan satu lagi tuntutan melibatkan perkhidmatan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), My Food serta sijil Halal melibatkan nilai lebih RM3.2 juta.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

"Kedua-dua suspek telah dibebaskan selepas membayar deposit RM1,000 daripada RM10,000 wang jaminan yang dikenakan kepada mereka.

"Mereka juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!