Air paras dada, mangsa berdebar tunggu bantuan lebih 5 jam

JITRA - Air yang naik dengan pantas sehingga ke paras dada menyebabkan Maznah Mohamad, 55, dari Kampung Paya Tok Kiong dekat sini, tidak putus berdoa supaya bantuan segera tiba agar dia dan suami dapat dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Menurut Maznah, walaupun setiap tahun berhadapan risiko banjir apabila tiba musim hujan, dia tidak menyangka akan melalui detik cemas seperti hari ini dan menyifatkannya sebagai banjir terburuk.
"Air tiba-tiba naik dengan cepat bermula jam 4 pagi tadi. Dulu banjir pun air tak sedalam ini, kali ini sampai ke paras dada. Saya tinggal berdua saja dengan suami di rumah.
"Sebelum bantuan tiba, saya dan suami duduk di beranda rumah yang agak tinggi. Lebih lima jam jugalah kami menunggu bantuan," katanya kepada pemberita selepas diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membuat operasi di kampungnya pagi tadi.
Mohamad Irfan Abdullah, 30, dari kampung sama berkata semalam keadaan masih baik dan dia tidak menyangka terpaksa berpindah hari ini setelah paras air di kawasan rumahnya naik hingga paras pinggang.
"Sebelum ni banjir tak dalam sangat pun, kami tak perlu pindah ke mana-mana pun, tapi kali ni kena pindah sebab takut air naik lagi tinggi dan bahaya," katanya yang tinggal bersama isteri dan seorang anak lelaki.
Sementara itu, Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, pihaknya menyelamatkan lapan orang penduduk terperangkap termasuk kanak-kanak menggunakan bot di Kampung Paya Tok Kiong pagi ini.
"Pihak kami ingin menasihatkan semua penduduk yang terlibat dengan banjir agar duduk di tempat selamat sehingga keadaan benar-benar pulih.
"Semalam pun pihak kami telah bantu memindahkan calon-calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) ke tempat selamat bagi memudahkan mereka menduduki peperiksaan yang bermula hari ini," katanya.
Beliau berkata penduduk yang diselamatkan kemudiannya dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Wawasan di sini, yang baharu dibuka bagi menampung mangsa banjir yang semakin meningkat. - Bernama
Ringkasan AI
- Air naik dengan pantas sehingga ke paras dada di Kampung Paya Tok Kiong
- Maznah Mohamad dan suami menunggu bantuan lebih lima jam di beranda rumah
- Mohamad Irfan terpaksa berpindah kerana air naik hingga paras pinggang
- Angkatan Pertahanan Awam menyelamatkan lapan penduduk terperangkap
- Penduduk yang diselamatkan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Wawasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
