Majlis Apresiasi Rakan Strategik YKN tanda terima kasih

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mengadakan Majlis Apresiasi Rakan Strategik YKN 2025 bagi meraikan syarikat korporat, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyokong inisiatif serta pelaksanaan program kebajikan YKN sepanjang 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada ribuan individu daripada golongan wanita B40, ibu tunggal, warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), keluarga berpendapatan rendah, komuniti Orang Asli dan penduduk kawasan pedalaman.
Menurutnya, antara program teras dijalankan dengan sokongan rakan strategik termasuklah Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menyediakan perkhidmatan psikososial secara bersemuka kepada komuniti.
“Selain itu, program Wanita Dinamik turut dilaksanakan bertujuan memperkasa wanita B40 untuk bangkit dan menjana pendapatan menerusi perniagaan kecil-kecilan.
“Begitu juga program lain seperti Wanita Bangkit Bersasar. Ia memberi peluang kedua kepada wanita untuk memulakan kehidupan selepas keluar dari penjara,” katanya pada majlis berkenaan yang diadakan pada Khamis.
Nordina berkata, bagi membantu anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, pihaknya melaksanakan Program Anjung Sinar.

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Seri Nancy Shukri.
Pada masa sama, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik YKN dan penyerahan sumbangan RM5,000 kepada NGO Persatuan Pelari Anak Luar Biasa.
Antara penerima penghargaan ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.
Turut berlangsung pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara YKN bersama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), MERCY Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA) bagi penyambungan Projek Bantuan Kemanusiaan Pelarian di bawah Dana Qatar Fund for Development (QFFD) serta serahan dokumen perjanjian kepada Qatar Charity Bhd.
Tambah Nordina, YKN amat menghargai kepercayaan dan kerjasama semua rakan strategik dalam usaha memberi harapan serta membuka ruang kehidupan yang lebih baik kepada golongan rentan.
Ringkasan AI
- Yayasan Kebajikan Negara (YKN) meraikan syarikat korporat, agensi, NGO dan individu yang menyokong program kebajikan sepanjang 2025
- Pelbagai inisiatif YKN memberi manfaat kepada wanita B40, ibu tunggal, warga emas, OKU, dan komuniti Orang Asli
- Program utama termasuk Pusat Sokongan Sosial Setempat, program Wanita Dinamik, dan Wanita Bangkit Bersasar
- Program Anjung Sinar dilaksanakan bagi membantu anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Penyampaian sijil penghargaan dan penyerahan sumbangan RM5,000 kepada NGO pada majlis tersebut serta pemeteraian tiga MoU antara YKN dengan Persatuan Perubatan Islam Malaysia, MERCY Malaysia dan Malaysian Relief Agency
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

