'Terima kasih Mr Pilot, saya sempat jumpa arwah ayah buat kali terakhir'

A
A
A

SHAH ALAM - Perjalanan pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada Rabu bertukar menjadi kenangan paling menyentuh hati buat bekas Pengarang Eksekutif (Digital) Sinar Harian, Ruzy Adila Idris.

Pengalaman itu menjadi momen yang tidak akan dilupakannya apabila juruterbang penerbangan berkenaan membantu memastikan beliau tiba tepat pada waktunya untuk bertemu arwah ayah, Allahyarham Idris Abu Bakar buat kali terakhir.

Dalam hantaran di Facebook, Ruzy menceritakan bagaimana rasa gundah menyelubungi dirinya ketika pesawat masih di udara kerana bimbang tidak sempat tiba sebelum jenazah ayahnya dikebumikan.

Berkongsi detik cemas itu, Ruzy berkata, beliau menulis sepucuk nota kepada juruterbang untuk memohon pertimbangan agar pesawat dapat mendarat lebih awal.

"Selepas menerima nota itu, pramugari beritahu pilot akan cuba tiba 15 minit lebih awal," ujarnya.

Namun usaha kapten pesawat itu nyata melebihi jangkaan. Ruzy dan anaknya selamat mendarat 20 minit lebih awal berbanding jadual asal, sesuatu yang disifatkannya sebagai anugerah Tuhan melalui baiknya hati seorang manusia.

“Kami dua beranak benar-benar memanjat kesyukuran kepada ALLAH SWT kerana hadirkan kami orang yang baik,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, penerbangan itu terasa begitu singkat kerana debaran dan harapan yang mengiringinya.

Disebabkan sampai awal di KLIA, Ruzy sempat pulang ke Puncak Alam untuk menatap ayahnya buat kali terakhir.

Artikel Berkaitan:

“Kenangan yang akan diingati sampai akhir hayat,” ujarnya yang turut menulis, “Humanity shows in quiet gestures: the hand we hold, the hurt we heal.”

Hantaran yang dimuat naik pada Khamis itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang turut tersentuh dengan kisah kasih sayang dan kemanusiaan yang ditonjolkan dalam pengalaman peribadinya itu.

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • SHAH ALAM - Perjalanan pulang Ruzy Adila Idris dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur berubah menjadi kenangan menyentuh hati
  • Juruterbang membantu Ruzy tiba tepat waktu untuk bertemu arwah ayahnya kali terakhir
  • Ruzy menulis nota pada juruterbang memohon pesawat mendarat lebih awal
  • Pesawat berjaya mendarat 20 minit lebih awal dari jadual
  • Ruzy sempat bertemu ayah sebelum kekal abadi, menggambarkan momen itu sebagai kenangan tak terlupakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!