Enam ditahan disyaki lombong emas secara haram

KUANTAN - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara membongkar kegiatan melombong emas secara haram hasil serbuan ke atas sebuah kawasan lombong di Kampung Bolok, Temerloh, Sabtu lalu.
Melalui kenyataan di Facebooknya, Briged Tenggara PGA berkata, dalam serbuan Op Bersepadu Khazanah kira-kira jam 8 pagi itu, enam lelaki termasuk lima warga asing berusia 25 hingga 38 tahun ditahan.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan pekerja terbabit cuba melarikan diri namun mereka berjaya diberkas.
"Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong emas itu disyaki dijalankan secara haram.

"Susulan itu, polis menahan dan merampas semua peralatan dan mesin jentera termasuk dua jengkaut, palong, mesin pam air serta peralatan mendulang emas yang digunakan untuk melombong dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.14 juta," katanya.
Jelas kenyataan itu, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada IPD Temerloh dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001, Seksyen 55(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.
Ringkasan AI
- PGA Briged Tenggara membongkar kegiatan melombong emas haram di Kampung Bolok, Temerloh
- Serbuan dilakukan kira-kira jam 8 pagi menahan enam lelaki termasuk lima warga asing
- Pekerja cuba melarikan diri semasa serbuan tetapi berjaya diberkas
- Polis merampas peralatan dan mesin jentera termasuk dua jengkaut dan mesin pam air bernilai RM 1.14 juta
- Kes disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 dan Akta Imigresen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

