Sekumpulan wanita 'amuk' bakar pondok jadi sarang dadah

LANGKAT – Tindakan nekad sekumpulan wanita di Langkat, Sumatera Utara, Indonesia membongkar dan membakar sebuah pondok yang didakwa menjadi lokasi penagihan dadah tular di media sosial dan mencetuskan perhatian ramai.
Kejadian yang berlaku selepas sekumpulan wanita berkenaan selesai mengadakan majlis wirid disahkan oleh pihak polis tempatan.
Menerusi rakaman video yang tersebar, kelihatan sekumpulan wanita menuju ke sebuah ladang kelapa sawit di mana terletaknya pondok terbabit.
Mereka kemudian bertindak merobohkan struktur pondok dan timbunan pelepah sawit yang menutupinya sebelum membakarnya.
Sebelum ini, kumpulan wanita itu dilaporkan meluahkan rasa marah dan mendesak agar pondok itu segera dibakar bagi menghalang ia terus dijadikan sarang penagihan dadah oleh golongan muda.
Menurut maklumat yang dimuat naik, insiden itu berlaku di Dusun Pematang Langkat, Desa Pematang Cengal, Kecamatan Tanjung Pura pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Langkat, AKBP David Triyo Prasojo mengesahkan kejadian tersebut, menyatakan tindakan itu adalah reaksi spontan sekumpulan wanita yang baru pulang dari majlis wirid.
David menjelaskan, pondok tersebut pada asalnya adalah tempat rehat pekerja dan pemilik kebun, bukan sengaja didirikan sebagai sarang dadah.
Bagaimanapun, maklumat yang diterima wanita tersebut mengatakan lokasi tersebut sering disalah guna untuk aktiviti penagihan dadah.
Susulan laporan, pihak polis bergegas ke lokasi dan mendapati pondok tersebut sudah dibakar. Hasil pemeriksaan mereka menjumpai satu alat menghisap dadah jenis syabu.
Polis kemudian memperluaskan operasi hingga ke Dusun Sei Rebat, Desa Pantai Cermin, Kecamatan Tanjung Pura, yang turut disyaki mempunyai pondok sama.
Di lokasi kedua ini, pihak berkuasa berjaya menemui dua lagi alat menghisap syabu, klip plastik dan pelbagai peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti penagihan.
"Seluruh pondok kemudian dibongkar dan dirobohkan agar tidak kembali digunakan sebagai tempat penyalahgunaan dadah," tegas David. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
