Empat warga Indonesia ditahan, dadah RM36,000 dirampas

Antara dadah yang dirampas polis. Foto: IPD Muar
Antara dadah yang dirampas polis. Foto: IPD Muar
A
A
A

MUAR - Taktik licik empat lelaki warga Indonesia yang menyimpan dan mengedar dadah di kawasan Taman Lembah Padang, di sini, terbongkar apabila kesemua mereka diberkas dalam satu serbuan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira jam 10.40 malam.

“Polis menyerbu sebuah rumah dalam taman tersebut hasil maklumat dan risikan mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Pihak polis menahan empat lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 30 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM36,191,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Raiz Mukhliz, hasil pemeriksaan menemukan 1,025.6 gram syabu dan 55 gram heroin yang disimpan dalam kotak rokok, beg kertas dan bungkusan teh Cina yang dipercayai untuk tujuan edaran.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, atas kesalahan mengedar, memiliki dan mengambil dadah.

“Polis akan terus bertindak membanteras aktiviti pengedaran dadah melalui strategi risikan dan sasaran, operasi berkualiti serta pengukuhan kehadiran penguatkuasaan di kawasan berisiko,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Empat lelaki warga Indonesia diberkas kerana menyimpan dan mengedar dadah di Taman Lembah Padang, Muar
  • Serbuan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muar berdasarkan maklumat risikan
  • Polis menahan lelaki berusia 23 hingga 30 tahun dan merampas heroin serta syabu bernilai RM36,191
  • Dadah dirampas termasuk 1,025.6 gram syabu dan 55 gram heroin yang disimpan dalam kotak rokok dan lain-lain
  • Semua suspek positif methamphetamine dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!