Covid-19 bakal ubah landskap pendidikan

Selain kakitangan perubatan yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi bencana ini, para guru juga merupakan golongan yang perlu kita tabik hormat.
Selain kakitangan perubatan yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi bencana ini, para guru juga merupakan golongan yang perlu kita tabik hormat.
A
A
A

COVID-19 secara tidak langsung telah mengubah landskap sistem pendidikan negara.

Selepas cuti penggal persekolahan bermula 14 Mac lalu selama seminggu kemudian bersambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu, ia membuatkan guru mula mengambil inisiatif bagi memastikan anak murid mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Masing-masing mula mengaplikasikan ilmu digital yang ada supaya kelas boleh dibuat secara maya.

Beberapa guru yang ada dalam grup Telegram Guru GPS Bestari berkongsi aplikasi yang mereka gunakan supaya boleh disiarkan di portal www.gpsbestari.com agar guru lain turut melakukan perkara sama.

Langkah awal sebenarnya telah dibuat sebelum arahan dalaman dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM). Ada tiga aplikasi yang popular digunakan untuk membuat kelas maya iaitu Google Meet, Zoom dan Team.

Selain kakitangan perubatan yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi bencana ini, para guru juga merupakan golongan yang perlu kita tabik hormat.

Dalam apa keadaan sekalipun, di mana jua mereka berada, jiwa pendidik itu tetap membara untuk mendidik anak bangsa.

Jika dimanfaatkan sebaiknya, pembelajaran melalui talian ini membolehkan murid tidak perlu ke sekolah dalam keadaan tertentu dan mereka boleh mengikuti pembelajaran seperti biasa seakan-akan di dalam kelas.

Artikel Berkaitan:

Namun, sehingga ke hari ini saya masih tertunggu-tunggu kemunculan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Mohd Jidin mengeluarkan sebarang kenyataan akhbar.

Mungkin sedikit kata dua daripada beliau akan lebih memberi semangat kepada guru untuk mencurah ilmu sepanjang PKP ini atau sesuatu yang boleh dijadikan panduan kepada golongan pendidik untuk bergerak lebih sistematik.

Pembelajaran

Di Turki, kerajaan negara itu mula melaksanakan pembelajaran jarak jauh bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurut agensi berita Anadolu, sesi pembelajaran itu dimulakan oleh Menteri Pendidikan, Ziya Selcuk membabitkan jutaan pelajar bermula jam 9 pagi waktu tempatan.

Pada 13 Mac lalu, Turki mengumumkan semua kemudahan pendidikan bermula dari sekolah rendah sehingga ke universiti ditutup.

Pelajar boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian menerusi Rangkaian Maklumat Pendidikan (EBA) dengan enam saluran televisyen khas disediakan.

Indonesia pula membatalkan Ujian Nasional atau peperiksaan persekolahan tahun 2020 dan tidak menggalakkan orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri pada Mei ini.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim berkata, Ujian Nasional untuk sekolah Dasar (di Malaysia Ujian Penilaian sekolah Rendah), ujian nasional di peringkat sekolah Menengah Pertama (di Malaysia peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan ujian nasional sekolah Menengah Atas (seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) dibatalkan dan perkara itu telah dipersetujui Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (Parlimen Indonesia).

Dalam kekalutan kita berhadapan dengan Covid-19, pencapaian gemilang dua lagi guru Malaysia yang tersenarai finalis Top 50 Global Teacher 2020 seakan-akan tenggelam.

Guru Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Ayer Hitam, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib dan guru bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah, Pahang, Samuel Isaiah merupakan dua Guru Adwira lantikan KPM.

Cikgu Norhailmi yang terkenal dengan pembelajaran berkonsepkan digital classroom dan banyak berkongsi membuat video pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan rakan guru di seluruh negara kini usahanya mendapat pengiktirafan dunia.

Begitu juga dengan Cikgu Samuel Isaiah yang berjaya menarik minat anak orang asli untuk belajar bahasa Inggeris dengan kaedah sekolah pokok yang diperkenalkan.

Ini hanya secebis kisah guru kita yang hebat.

Ada banyak lagi unsung heroes di luar sana yang siang dan malamnya hanya memikirkan bagaimana untuk memandaikan anak bangsa.

*Wan Normi Hasan ialah Editor GPS Bestari