'Saya terjebak dalam politik kerana benci rasuah' - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Hantaran terbaharu bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafiz Ramli yang menyentuh mengenai isu rasuah di Facebooknya kembali menarik perhatian ramai.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, faktor utama yang membawa beliau menyertai politik kira-kira 20 tahun lalu kerana kebenciannya terhadap isu yang tidak pernah padam dalam negara iaitu rasuah.

"Saya terjebak dalam politik ialah kerana kebencian kepada rasuah. Bila saya membesar saya nampak ada sebahagian masyarakat kita yang mensucikan rasuah. Ada yang kata apa nak kisah pasal rasuah asalkan orang kita dapat.

"Ada yang kata kalau tak rasuah macam mana nak buat bisnes. Ada yang menunggang lawan rasuah, rupa-rupanya sebab dia nak pula nak ambil tempat laba rasuah bila kerajaan bertukar ganti," katanya.

Rafizi sebelum ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat setiausaha politiknya yang terpalit kontroversi berhubung surat sokongan dikeluarkan bagi kontraktor yang membida projek hospital.

Bagaimanapun, Anwar menolak desakan tersebut dengan mengatakan surat sokongan berkenaan bukan arahan.

Sementara itu, Rafizi menerusi hantaran sama berkata, selepas lebih 20 tahun bercakap dan melawan rasuah, beliau mengakui mungkin sukar untuk mempercayai mana-mana kempen atau slogan untuk melawan perbuatan tidak bermoral itu.

"Sebab saya nampak (petikan) ini. Corruption is not bad. Corruption is only bad if I am not involved. But if I am part of that corruption, I’ll defend it (Rasuah tidaklah buruk. Rasuah hanya menjadi buruk jika saya tidak terlibat. Tetapi jika saya menjadi sebahagian daripada rasuah itu, saya akan mempertahankannya)," katanya.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Rafizi Ramli menjadikan isu rasuah sebagai fokus di Facebooknya
  • Rafizi terjun ke politik kerana kebenciannya terhadap rasuah
  • Beliau menyatakan bahawa sebahagian masyarakat menganggap rasuah sebagai perkara biasa
  • Rafizi mendesak Perdana Menteri memecat setiausaha politiknya yang terlibat kontroversi rasuah
  • Rafizi mengakui sukar percaya slogan atau kempen melawan rasuah setelah lebih 20 tahun berjuang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!