Tebing alur runtuh, keselamatan lebih 1,000 penduduk terancam

KOTA BHARU – Keselamatan lebih 1,000 penduduk di Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar di sini terancam apabila tebing alur di kawasan itu runtuh akibat hujan lebat pada Ahad
Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati tebing alur tersebut hanya terletak 50 meter dari rumah penduduk dan dikatakan baru sahaja dibaik pulih kira-kira sebulan lalu.
Penduduk, Suhaili Abdullah, 49, berkata, masalah itu sering berlaku terutamanya pada musim tengkujuh kerana air yang melalui alur berkenaan sangat deras.
“Ia baharu dibaiki tidak sampai sebulan, tetapi sudah runtuh kembali. Apabila hujan lebat, air akan melimpah sehingga memasuki kawasan rumah, terutamanya rumah-rumah yang rendah,” katanya.

Menurutnya, keadaan lebih berbahaya pada waktu malam kerana kawasan itu merupakan laluan alternatif ke Jalan Pekeliling dari Bayam.
Seorang lagi penduduk, Fauzi Ismail, 67, berkata, perkara yang paling membimbangkannya ialah apabila motosikal berselisih dengan kereta atau lori di laluan berdekatan alur tersebut.
Katanya, keadaan sekarang juga boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak, terutamanya apabila air alur melimpah akibat hujan lebat.
“Masalah ini sudah berlarutan lama. Kami berharap pihak berkaitan dapat memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim memaklumkan, beliau sudah beberapa kali turun padang melihat sendiri runtuhan yang berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.
“Saya berharap tindakan segera dapat dilakukan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Ringkasan AI
- Lebih 1,000 penduduk di Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar, berdepan ancaman keselamatan akibat tebing alur runtuh disebabkan hujan lebat
- Tebing alur yang runtuh berada 50 meter dari rumah penduduk dan baru diperbaiki kurang dari sebulan yang lalu
- Masalah runtuhan sering berlaku pada musim tengkujuh kerana aliran air yang sangat deras
- Penduduk bimbang keselamatan terutamanya pada waktu malam dan apabila terjadi banjir akibat hujan lebat
- ADUN Kota Lama sudah maklumkan masalah tersebut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

