Mendidik rakyat berdisiplin

A
A
A

MENGAWAL pergerakan 32 juta rakyat tidak mudah. Selain daripada penguatkuasaan undang-undang, mengharapkan rakyat sejumlah itu mengenakan kawalan kendiri supaya ikut arahan tidak keluar rumah hampir mustahil.

Malaysia belum pernah berhadapan dengan wabak sedemikian kritikal dan berskala seperti Covid-19. Rakyat belum pernah melalui pengalaman ini untuk menyesuaikan diri dengan arahan kuarantin ini.

Oleh itu, mengawal populasi 32 juta di seluruh negara secara serentak sangat mencabar. Secara bandingan, mengurung ratusan juta rakyat di China, Amerikat Syarikat, Itali, Iran dan Sepanyol jauh lebih berat.

Akan tetapi, jelas langkah ini terpaksa dilakukan meskipun sangat rumit walaupun masing-masing negara bertindak sendiri untuk menangani wabak Covid-19.

Daripada membataskan pergerakan rakyat, menutup sempadan hingga ke peringkat perintah berkurung, seluruh dunia kini mengarah kepada langkah mengetatkan pergerakan rakyat masing-masing sebagai antara langkah yang didapati paling berkesan.

Sehingga ubat dapat ditemui dan terbukti boleh merawat atau melindungi orang awam, kaedah penjarakkan sosial adalah paling selamat.

Pokoknya, seluruh komuniti dunia berada dalam keadaan krisis kesihatan yang sama dan semua kerajaan di negara-negara yang terkesan mengambil langkah yang hampir sama iaitu mengumumkan peraturan larangan keluar rumah, suatu keputusan yang tidak pernah berlaku berskala ini.

Mengikut analisis trend wabak Covid-19, Malaysia dijangka mengambil masa lagi sebelum tahap kemuncak berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pada hakikatnya, sebelum lekuk jangkitan Covid-19 mulai menurun, Malaysia belum sampai ke tahap paras tertinggi lagi, malah trend jangkitan mungkin terus meningkat.

Malah agensi dunia, WHO juga sedang mengantisipasi gelombang kedua Covid-19 mungkin berlaku jika usaha bersungguh antara komuniti antarabangsa tidak digembleng.

Bermakna Malaysia perlu bersiap untuk berhadapan dengan senario lebih kronik dalam beberapa minggu lagi.

Soalnya, bagaimana mengawal masyarakat berjumlah 32 juta orang di bandar dan di desa agar akur kepada arahan tidak keluar rumah.

Yang paling kritikal ialah keyakinan rakyat kepada kerajaan agar mematuhi arahan kerana ia adalah prasyarat penting jika langkah larangan keluar rumah mahu dipatuhi dan membawa kesan membendung penularan Covid-19.

Ini sangat bergantung kepada sejauh mana kerajaan mempunyai sebuah pelan dan pengarahan yang jelas dan menyeluruh. Keputusan dan pemakluman yang tepat dari masa ke masa akan meningkatkan keyakinan rakyat untuk mematuhi arahan kerajaan.

Patuh

Dalam hal ini, tidak harus timbul soal kekeliruan dan tidak sepatutnya wujud ketidakselarasan antara agensi. Majlis Keselamatan Negara perlu menunjukkan daya kepimpinan yang diyakini oleh rakyat. Keputusan yang berbolak-balik tidak harus berbalik.

Kami menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menunjukkan daya kawal diri yang tinggi. Rakyat tidak harus hanya menunggu didenda baru mahu patuh kepada arahan.

Petugas di barisan depan dalam kalangan petugas kesihatan, keselamatan, wartawan sedang bertarung nyawa untuk membantu rakyat.

Sangat tidak patut dan tidak bertanggungjawab bila ada yang terus berdegil dan meremehkan arahan kerajaan, padahal petugas sudah sampai ke peringkat maksimum untuk membendung wabak ini.

Kami menyedari betapa kesusahan berada dalam keadaan ini yang jelas tidak dikehendaki oleh sesiapa pun. Akan tetapi, dalam keadaan kritikal dan luar jangka seperti ini, rakyat harus mematuhi arahan dengan tenang.

Mengatasi wabak ini memerlukan respons secara kolektif, bersepadu dan multi bidang iaitu kesihatan, ekonomi, sosial, keselamatan dan keamanan, undang-undang, dan pendidikan.

Sekarang seluruh rakyat Malaysia perlu menunjukkan semangat kesatuan nasional untuk menghadapi krisis wabak Covid-19 secara kolektif.

Hanya dengan disiplin dan kesabaran yang tinggi, mengawal diri, keluarga, tetangga serta masyarakat agar patuh kepada arahan, keadaan dapat dipulih segera.

Malaysia memerlukan pelan bertindak yang jelas untuk menggembleng seluruh aset agensi dan masyarakat sivil demi menangani wabak ini dengan berkesan.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu