Simpan RM50, RM20 sebulan untuk persiapan haji, umrah keluarga

KUALA LUMPUR – Konsisten menyimpan RM50 sebulan untuk isterinya serta RM20 bagi setiap anak sejak hari pertama mereka dilahirkan menjadi asas kejayaan Dzulkafli Mansor membawa seluruh keluarganya menunaikan haji dan umrah.
Berkongsi kisahnya menerusi Podcast Tabung Haji Ke Udara, beliau berkata amalan menabung itu bermula sebaik beliau mula bekerja pada 1982 dan terus membuka akaun Tabung Haji (TH) untuk dirinya dan isteri.
“Saya mula kerja tahun 1982 dan sejak hari pertama saya terus membuka akaun TH serta membuat potongan RM50 sebulan untuk saya dan isteri,” katanya.
Menurutnya, simpanan kecil tetapi konsisten itu akhirnya membuka jalan kepada mereka menunaikan haji pada 1993, ketika beliau berusia 33 tahun dan isterinya 32 tahun.
“Waktu itu kos haji sekitar RM5,000 sahaja, tetapi sebab disiplin simpan RM50 setiap bulan, simpanan kami mencecah RM11,000. Itu yang membantu kami pergi pada usia muda,” jelasnya.

Pengalaman menunaikan haji pada usia muda memberi keyakinan kepadanya bahawa anak-anak juga perlu merasai ibadah itu ketika masih kuat dan bertenaga.
Tidak berhenti di situ, Dzulkafli turut membuka akaun TH untuk setiap anak sebaik mereka dilahirkan dengan menggunakan wang hadiah kelahiran yang diberikan saudara-mara.
“Orang bagi duit tengok anak tetapi saya kumpul dan terus buka akaun TH untuk mereka. Sejak kecil lagi saya sudah memulakan simpanan,” ujarnya.
Beliau kemudian menambah komitmen baharu dengan menyimpan RM20 sebulan bagi setiap anak, walaupun pendapatan keluarga pada ketika itu tidak besar.
“Walaupun gaji kecil, saya tetap buat simpanan RM20. Saya kira dividen waktu itu antara lima hingga lapan peratus, jadi saya anggar bila anak umur 17 atau 18 tahun, simpanan mereka boleh cecah RM10,000,” jelasnya.
Katanya, simpanan itu bukan hanya untuk haji tetapi dirancang sebagai modal masuk universiti, memulakan perniagaan kecil atau mengadakan majlis perkahwinan jika diperlukan.
Beliau memilih TH kerana yakin dengan pengurusan patuh syariah selain pembayaran zakat yang sudah ditunaikan bagi pihak penyimpan.
“TH bagi saya berkat. Zakat sudah dibayar, ia patuh syariah dan apa yang kita simpan itu sebahagiannya membantu jemaah haji. Itu yang buat saya terus setia menyimpan,” katanya.
Titik penting usaha simpanannya datang pada 2009 apabila beliau mendapat rezeki lebih dan berjaya membawa sembilan ahli keluarga termasuk enam anak dan ibunya menunaikan umrah buat pertama kali.
Walaupun bimbang anak-anak tidak biasa dengan cuaca panas dan ibadah yang berat, semuanya pulang dengan pengalaman yang sangat positif.
“Apabila balik, anak-anak kata inilah percutian paling best dalam hidup mereka. Saya pun berpuas hati,” katanya.
Kegembiraan itu mendorong Dzulkafli untuk mendaftarkan semua anaknya bagi menunaikan haji sebaik mereka pulang dari umrah.
Setelah mencapai usia 18 tahun, setiap anak menukar akaun kepada akaun dewasa dan mula menyimpan sendiri secara konsisten, manakala akaun asal yang dibuka oleh bapanya sejak lahir diserahkan sepenuhnya kepada mereka.
“Anak-anak sambung sendiri simpan. Mereka dah terbiasa dan lebih berdikari. Simpanan itu pun tidak terusik walaupun mereka sambung belajar sebab semuanya mendapat pinjaman atau biasiswa,” katanya.
Mengimbas kembali suasana 1993 ketika kuota haji mula diperkenalkan, Dzulkafli berkata, beliau antara individu beratur awal untuk mendaftar kerana bimbang peluang menunaikan haji tidak memihak kepada mereka.
“Kalau kita konsisten, walaupun jumlahnya kecil, insya-ALLAH hasilnya besar. Itu yang saya pegang sampai hari ini,” katanya.
Anak ikut jejak ayah simpan wang di TH

Menjadikan nasihat ayah sebagai pegangan hidup, anak kedua Dzulkafli, Nur Hamizah meneruskan amalan menabung di TH sejak tahun pertama bekerja dengan menyimpan RM100 sebulan untuk dirinya dan RM50 bagi setiap anak.
Berkongsi pengalamannya, Nur Hamizah berkata, keputusan menyambung tradisi itu dibuat kerana keyakinan terhadap keberkatan simpanan di TH serta kemudahan pengurusan zakat yang diselesaikan bagi pihak penyimpan.
Menurutnya, sebaik sahaja melahirkan anak pertama, beliau terus membuka akaun TH untuk anaknya seawal tempoh selepas berpantang, sama seperti yang dilakukan ayahnya terhadap beliau dan adik-beradik.
“Selepas saya habis pantang, saya terus pergi buka akaun TH untuk anak. Mujur saya sempat buat awal,” jelasnya.
Nur Hamizah yang mula bekerja pada 2009 berkata, budaya menyimpan itu bermula sejak tahun pertama beliau menerima gaji, apabila dia memilih kaedah potongan gaji automatik agar komitmen simpanan dapat diteruskan tanpa gagal.
Beliau berkat, jumlah simpanan yang ditetapkan bukanlah besar tetapi cukup untuk memastikan disiplin menabung itu kekal setiap bulan.
“Saya buat RM100 untuk diri saya, dan RM50 seorang untuk dua anak saya,” ujarnya.
Selain simpanan bulanan, Nur Hamizah turut memasukkan duit raya anak-anak setiap tahun ke dalam akaun TH mereka, supaya wang itu tidak dibazirkan. Itu juga merupakan amalan yang diwarisi daripada ayahnya.
Menurutnya, wang simpanan di TH bukan sahaja untuk haji, tetapi sebagai persediaan masa depan termasuk pendidikan, kemasukan universiti dan keperluan penting lain apabila anak meningkat dewasa.
Duit raya disimpan dalam akaun TH

Sementara itu, abang sulungnya Hazwan mengakui simpanan yang dikumpul sejak kecil banyak membantunya, termasuk ketika membuat persiapan mendirikan rumah tangga.
“Ada juga saya guna masa nak kahwin tetapi sikit sahaja. Selebihnya saya kekalkan sebagai simpanan,” jelasnya.
Menurutnya, tabiat menabung itu sebahagiannya terbentuk daripada peranan besar ayahnya yang sentiasa memastikan wang pemberian atau duit raya ketika kecil disimpan dalam akaun TH.
“Abah yang banyak bantu kami menyimpan. Duit raya dulu, dua kali raya pun dia akan masukkan semua. Kami boleh ambil sikit untuk belanja, tapi bakinya memang dimasukkan ke TH,” katanya.
Hazwan berkata, tradisi menyimpan itu diterapkan secara konsisten sejak zaman kanak-kanak, apabila setiap tahun duit raya dimasukkan ke akaun simpanan, menjadikan tabiat itu sebati hingga dewasa.
“Semua ayah simpan. Itu yang membentuk tabiat menabung sampai sekarang,” jelasnya.
Mengakui keberkesanan didikan tersebut, Hazwan kini mengamalkan perkara sama untuk anak-anaknya, memastikan setiap duit raya atau pemberian turut dijadikan simpanan jangka panjang.
“Saya didik anak saya. Sama macam abah ajar dulu,” katanya yang berpeluang menunaikan ibadah haji bersama adik beradiknya pada tahun 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

