Warisan Peranakan aset budaya negara - King Sing

SUBANG JAYA – Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya ke-36 menjadi platform penting dalam memperkukuh usaha memelihara warisan Peranakan sebagai aset budaya negara yang mencerminkan keharmonian serta kepelbagaian identiti masyarakat Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, komuniti Baba Nyonya merupakan simbol unik sejarah Malaysia yang terbina melalui gabungan budaya Melayu, Cina dan pengaruh Eropah, sekali gus membentuk identiti nasional berteraskan toleransi dan keharmonian.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot pada Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya ke-36 anjuran Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor (PPBNKLS) yang turut dihadiri Presiden PPBNKLS, Vivienne Lee di sini pada Sabtu.
Menurut King Sing, kisah Baba Nyonya mencerminkan perjalanan sejarah negara yang terbina melalui hubungan budaya dan semangat kebersamaan, bukan pemisahan, sekali gus menjadikan warisan itu antara kekuatan utama Malaysia selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Menurutnya, MOTAC komited mengintegrasikan elemen warisan budaya dalam sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi memastikan Malaysia bukan sahaja destinasi indah, malah kaya dengan naratif sejarah dan identiti budaya.
“Warisan bukan hanya untuk dilindungi, tetapi perlu diaktifkan melalui program komuniti, pendidikan dan penganjuran budaya agar terus hidup dalam kehidupan seharian masyarakat,” katanya.
Beliau turut memuji usaha PPBNKLS yang konsisten mempromosikan budaya Peranakan menerusi pelbagai inisiatif kreatif.
Menurutnya, pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO merupakan pencapaian membanggakan yang membuktikan keberkesanan kerjasama serantau dalam memelihara tradisi, selain membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan pertukaran budaya.
Katanya, generasi muda perlu terus didedahkan dan digalakkan mendekati warisan ini melalui pemakaian kebaya, seni persembahan dan masakan tradisional agar budaya Peranakan terus bernafas seiring perkembangan zaman.
Mengulas perkembangan teknologi masa kini, beliau menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya menggantikan nilai kemanusiaan dan keaslian seni warisan.

“AI mampu mendokumentasikan warisan, namun ia tidak dapat menggantikan jiwa, sentuhan dan makna sebenar yang lahir daripada kreativiti penggiat budaya itu sendiri,” katanya.
Tambah beliau, MOTAC akan terus menyokong usaha pendidikan budaya dan penglibatan belia bagi memastikan warisan Peranakan kekal relevan serta berkembang secara lestari.
Sementara itu, Vivienne berkata, Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya ke-36 dihadiri lebih 500 delegasi dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Australia.
Katanya, budaya Peranakan bukan sekadar sejarah, tetapi warisan hidup yang terus berkembang melalui bahasa, pakaian, masakan dan tradisi yang diwarisi turun-temurun.
“Warisan Peranakan perlu terus diperkukuh supaya generasi muda dapat menyambung tradisi sambil berinovasi,” katanya.
Ringkasan AI
- Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya ke-36 diadakan sebagai usaha memelihara warisan Peranakan yang mencerminkan keharmonian dan kepelbagaian masyarakat Malaysia
- MOTAC berkomitmen untuk memasukkan elemen warisan budaya dalam sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memastikan Malaysia kaya dengan naratif sejarah dan identiti budaya
- Pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO menandakan keberkesanan kerjasama serantau dalam memelihara tradisi
- Teknologi seperti kecerdasan buatan tidak dapat menggantikan nilai kemanusiaan dan keaslian seni warisan, walaupun mampu mendokumentasikannya
- Konvensyen ini dihadiri lebih 500 delegasi dari berbagai negara dan menekankan pentingnya generasi muda meneruskan tradisi Peranakan sambil berinovasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
