Komuniti Baba Nyonya lima negara rapatkan generasi, kekalkan warisan

KUALA LUMPUR – Komuniti Baba Nyonya dari lima negara Asia Pasifik bakal berhimpun di Dorsett Grand Subang sempena Persidangan Antarabangsa Baba Nyonya ke-36 yang berlangsung dari 21 hingga 23 November ini.
Persidangan selama tiga hari itu dijangka menghimpunkan lebih 500 delegasi dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Australia bagi membincangkan usaha memelihara warisan Peranakan yang semakin berdepan cabaran perubahan zaman.
Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor (PPBNKLS), Nyonya Vivienne Lee berkata, penganjuran kali ini memberi fokus kepada usaha merapatkan jurang generasi serta memastikan warisan budaya Baba Nyonya terus relevan.
“Baba Nyonya adalah penjaga warisan yang unik dan berwarna-warni. Akar budaya ini perlu dilanjutkan kepada generasi baharu agar ia kekal hidup, dipelajari dan diraikan,” katanya.
Beliau berkata, antara isu dibincangkan ialah kemerosotan penutur dialek Baba, penyusutan pengetahuan masakan tradisional serta usaha memelihara seni tekstil, kraftangan dan seni persembahan yang menjadi identiti Peranakan.
Mengangkat tema ‘Merapatkan Generasi, Memelihara Warisan’, satu persembahan teater interaktif ‘Achar Ah-Cheh’ bakal menjadi tumpuan persidangan.

Persembahan itu dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Hasanah sebagai medium menyatukan generasi lama dan baharu melalui penceritaan warisan budaya.
Hotel Dorsett Grand Subang turut memperkenalkan menu khusus Baba & Nyonya Weekend High Tea sehingga 31 Disember, sekali gus memberi peluang orang ramai menikmati hidangan tradisional Peranakan.
Walaupun persidangan dikhususkan kepada delegasi berdaftar, orang ramai juga berpeluang menyertai Bazar Kebudayaan yang menampilkan tekstil tradisional, aksesori, barang kemas, bahan masakan dan kraf tempatan serta antarabangsa.
Persidangan itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam memperkukuh kelestarian budaya serantau.
Program bimbingan bakal dijalankan bagi menghubungkan penggiat kraf Asia Tenggara dengan generasi muda supaya kemahiran seperti sulaman manik, masakan tradisional dan seni tekstil dapat diwarisi.
Pengurus Besar Wilayah Dorsett Hospitality International, Kumar Renoo berkata, pihaknya komited memainkan peranan dalam memartabatkan warisan budaya melalui kerjasama strategik.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara, tetapi usaha memberi sumbangan bermakna kepada warisan Malaysia,” katanya.
Persidangan antarabangsa ini menjadi titik penting dalam perjalanan memelihara identiti Peranakan, mempertemukan tradisi dan inovasi serta memastikan warisan budaya terus berkembang mengikut peredaran masa.
Ringkasan AI
- Komuniti Baba Nyonya dari lima negara Asia Pasifik akan berhimpun di Persidangan Antarabangsa Baba Nyonya ke-36 di Dorsett Grand Subang
- Persidangan bertujuan membahas usaha memelihara warisan Peranakan yang terancam oleh perubahan zaman
- Fokus utama adalah merapatkan jurang generasi dan memastikan kelestarian budaya Baba Nyonya
- Persembahan teater interaktif 'Achar Ah-Cheh' dan menu khusus Baba & Nyonya Weekend High Tea di Dorsett Grand Subang menjadi tarikan
- Inisiatif ini didukung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia untuk memperkukuh kelestarian budaya serantau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
