Pengsan atas pokok rambutan dihempap dahan

Seorang pekerja pemotong pokok tersangkut pada sebatang pokok rambutan selepas pengsan akibat dihempap dahan pada Ahad.
Seorang pekerja pemotong pokok tersangkut pada sebatang pokok rambutan selepas pengsan akibat dihempap dahan pada Ahad.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Seorang pekerja pemotong pokok tersangkut di ketinggian kira-kira 6 meter di atas sebatang pokok rambutan selepas pengsan akibat dihempap dahan dalam kejadian berhampiran Masjid Pokok Machang, Kampung Air Melintang di sini, tengah hari Ahad.

Mangsa, Rasidan Farizan, 26, mengalami kecederaan pada tulang belakang akibat hentakan kuat hingga memerlukan bantuan anggota bomba untuk membawanya turun.

Mangsa dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
Mangsa dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 12.36 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, komander operasi membuat pemeriksaan dan melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk membawa mangsa turun ke bawah.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri berjaya dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

John Sagun berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pekerja pemotong pokok tersangkut di ketinggian kira-kira 6 meter di atas sebatang pokok rambutan selepas pengsan akibat dihempap dahan
  • Mangsa, Rasidan Farizan, 26, mengalami kecederaan pada tulang belakang
  • Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 12.36 tengah hari
  • Mangsa berjaya dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut
  • Operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat sepenuhnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!