X

Kindly register in order to view this article
!

Pharmaniaga tidak pernah lantik pihak lain jual topeng muka

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menegaskan syarikat itu tidak pernah melantik mana-mana pihak lain untuk menjadi ejen menjual topeng muka kepada orang ramai.

Pharmaniaga dalam satu kenyataan memberitahu, penjualan topeng muka oleh syarikat itu hanya dibuat secara dalam talian iaitu di laman web www.royalepharma.com serta di rangkaian farmasi dan alliance RoyalePharma.

Justeru menurut kenyataan itu, dakwaan yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini mengatakan ada pihak daripada syarikat itu menjual topeng muka melebihi harga siling ditetapkan kerajaan dan tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak benar.

“Dakwaan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu hanya untuk memperdayakan orang ramai dengan menggunakan nama syarikat ini. Malah, topeng muka yang dijual oleh Pharmaniaga mengikut harga ditetapkan kerajaan," kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurutnya, Pharmaniaga kesal dengan perbuatan sesetengah pihak yang melakukan penipuan sedemikian dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Tambah kenyataan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu berkenaan boleh menghubungi bahagian Khidmat Pelanggan Pharmaniaga dengan menelefon talian 1-800-888-313 atau menghantar emel ke [email protected] - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus