Kluster Covid-19 dan risiko warga emas

Anggota medik menolak seorang pesakit ke dalam ambulans untuk dipindahkan ke kemudahan penjagaan jangka panjang di Kirkland, Washington, Amerika Syarikat.
Anggota medik menolak seorang pesakit ke dalam ambulans untuk dipindahkan ke kemudahan penjagaan jangka panjang di Kirkland, Washington, Amerika Syarikat.
A
A
A

AMBANG tahun 2020 menghadirkan mimpi ngeri buat masyarakat dunia dengan kemunculan tanpa amaran virus pembunuh bernama Covid-19. Sekelip mata puluhan ribu menjadi mangsa dan Malaysia tidak terkecuali dengan 19 kematian dicatat setakat semalam.

Dalam membicarakan krisis kesihatan ini, kita sering mendengar perkataan kluster Covid-19 yang selalu disebut-sebut terutamanya dalam sidang-sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun, sejauh manakah kita memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kluster itu?

Dr Zainal Ariffin
Dr Zainal Ariffin

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kluster merupakan kumpulan pesakit daripada sumber jangkitan dan hubungan yang sama.

Menurut beliau, antara kluster yang menyumbang kepada angka jangkitan Covid-19 di Malaysia terdiri daripada kluster pesakit yang pulang dari Singapura seterusnya kluster kes ke-26, kluster kes ke-33 dan kluster Sri Petaling.

Kluster kes ke-26 melibatkan seorang kakitangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan manakala kes ke-33 merupakan seorang lelaki di Kuching, Sarawak.

Ditanya bagaimana jangkitan daripada setiap kluster merebak, beliau menjawab ia disebabkan beberapa faktor.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya bilangan orang yang ramai dalam kumpulan kluster, hubungan jarak dekat dan juga berada dalam satu perhimpunan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Untuk makluman, daripada hampir 1,800 jangkitan Covid-19 di Malaysia, 60 peratus datang daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Menyentuh persoalan mengapa kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling paling tinggi berbanding kluster-kluster lain, beliau berkata, ia disebabkan kumpulan terbabit mempunyai bilangan ahli yang ramai.

“Selain itu aktiviti kumpulan terbabit seperti solat, makan, tidur, pergaulan dan sebagainya yang dilakukan secara lebih dekat sesama mereka.

“Malah, selepas perhimpunan itu mereka bergerak secara berkumpulan pula di surau dan masjid di seluruh negara,” katanya.

Berdasar statistik Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga semalam, seramai 8,954 jemaah tabligh menghadiri perhimpunan di Sri Petaling telah disaring dan daripada jumlah itu 986 orang atau 11 peratus didapati positif manakala 5,245 orang negatif. Seramai 2,704 orang masih menunggu keputusan masing-masing.

Bagaimanapun, jelas Zainal Ariffin, kluster tabligh bukanlah merujuk kepada jemaah tabligh semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kontak kedua atau ketiga seperti ahli keluarga dan rakan-rakan.

Jika dilihat pada bilangan, ternyata ia merupakan kluster terbesar jangkitan, namun harus diingat kita di sini bukan mahu menuding jari atau menghukum sesiapa. Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti virus itu dan menyebarkannya kepada individu lain.

Sementara itu, pakar-pakar kesihatan turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan warga emas dalam keluarga masing-masing supaya tidak terdedah kepada mana-mana kluster jangkitan Covid-19.

Ini kerana risiko jangkitan dan maut adalah sangat tinggi dalam kalangan orang berusia apatah lagi sekiranya mereka mempunyai sejarah penyakit-penyakit kronik lain.

Berdasarkan statistik 19 kematian setakat semalam, 10 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia adalah pesakit yang berusia 60 tahun ke atas.

Dr Zubaidi Ahmad
Dr Zubaidi Ahmad

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad, berdasarkan corak jangkitan Covid-19, golongan warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik, wanita mengandung dan kanak-kanak adalah lebih berisiko untuk terkena jangkitan sekali gus terdedah kepada maut.

Ini kerana, menurutnya, golongan berkenaan mempunyai daya tahan atau imun badan yang lebih rendah.

“Orang yang sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit buah pinggang, semua ini kita panggil pesakit kronik. Sudah tentu mereka mempunyai daya tahan yang sangat rendah berbanding dengan orang biasa.

“Begitu juga dengan kanak-kanak, warga tua dan wanita yang hamil. Sebab apa mereka ini tidak digalakkan keluar? Sebab ia melibatkan isu imuniti. Mereka ini mempunyai daya tahan yang rendah, senang dijangkiti,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, golongan tersebut disarankan untuk tidak keluar rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

“Rumah adalah tempat yang selamat sebab tiada orang luar yang masuk ke dalam rumah kita dan kita tidak bertemu dengan orang yang kita tidak tahu status kesihatan mereka.

“Satu lagi masalah, virus ini kita tidak nampak. Kalau orang batuk, bersin atau meludah atas meja pun kita tidak nampak. Sebab itu pendedahan risiko itu tinggi sebenarnya,” katanya.