Rayuan gantung, pecat ahli Bersatu perlu segera diselesaikan - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal.
Wan Ahmad Fayhsal.
A
A
A

KOTA BHARU — Rayuan penggantungan dan pemecatan beberapa pemimpin susulan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didesak supaya segera diselesaikan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. 

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan disiplin itu menimbulkan rasa kecewa kerana individu terbabit adalah pemimpin yang dipilih oleh akar umbi untuk membawa suara parti serta gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, perbezaan pendapat yang disuarakan tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan biadab, sebaliknya teguran dalaman yang perlu diberi perhatian bagi mengukuhkan lagi Bersatu dan PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurutnya, sebaik selepas selesai PRN Sabah, perbincangan secara ikhlas antara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin mesti dimulakan. 

Mereka yang hadir mendengar ceramah di Kota Bharu pada Jumaat. 
Mereka yang hadir mendengar ceramah di Kota Bharu pada Jumaat. 

“Kalau dibiarkan, PN sendiri akan rugi terutama pada PRU16. 

“Masalahnya kini, ada segelintir individu dalam parti, khususnya kumpulan baharu menyertai Bersatu beranggapan mereka boleh menggunakan Lembaga Disiplin untuk mendiamkan sesiapa sahaja yang mengkritik hanya kerana berbeza pandangan. 

“Tindakan seperti ini tidak betul dan jika diteruskan akan menghancurkan parti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Isu Semasa Sidang DUN Belanjawan Kelantan Peringkat Parlimen Kota Bharu di Dewan Kelantan Trade Centre di sini, pada Jumaat. 

Menurutnya, semua pemimpin yang dikenakan tindakan disiplin mengikuti saluran perlembagaan parti dan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan yang dibentuk pada mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Kami semua sudah pun merayu termasuklah mereka yang dipecat pada minggu lepas.

“Kami berharap Lembaga Rayuan dapat bersidang dengan segera dan menilai permohonan kami secara adil dan saya yakin, jika prosesnya mengikut peraturan yang betul, kesemua kami wajar diberikan keadilan serta dikembalikan ke jawatan yang kami menangi sebelum ini.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana merasakan diri dizalimi,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau melihat wujud pihak tertentu dalam parti yang mahu mereka digantung dan dipecat. 

“Semua ini alasan untuk mendiamkan kami serta menakutkan pimpinan lain seperti ketua bahagian dan ahli Parlimen.

“Situasi ini menggambarkan politik yang tidak sihat, sedangkan perbezaan pendapat tersebut berlaku dalam ruang dalaman parti sendiri,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal berkaitan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu.

Lembaga Disiplin Bersatu turut mengumumkan tindakan pemecatan terhadap empat lagi ketua bahagian parti.

 

Ringkasan AI

  • Rayuan penggantungan dan pemecatan pemimpin Bersatu didesak segera diselesaikan selepas PRN Sabah
  • Tindakan disiplin terhadap pemimpin yang dipilih akar umbi menimbulkan kecewa
  • Perbezaan pendapat dalam parti dilihat sebagai teguran untuk mengukuhkan Bersatu dan PN
  • Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu perlu bermuzakarah segera selepas PRN Sabah
  • Pemimpin yang dikenakan tindakan disiplin telah merayu kepada Lembaga Rayuan parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!