Pemimpin politik perlu tunjuk kematangan - Wan Rosdy

Wan Rosdy.
Wan Rosdy.
A
A
A

KUANTAN – Pemimpin politik perlu menunjukkan kematangan dengan tidak mempolitikkan segala perkara, khususnya isu hubungan luar negara dan kemanusiaan sejagat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, konflik yang berlaku antara Thailand dan Kemboja ketika ini merupakan isu serius yang berpotensi mencetuskan krisis serantau di Asia Tenggara serta memberi kesan langsung kepada Malaysia.

“Sejarah tidak boleh dilupakan. Ketika era Perang Vietnam dan kekejaman rejim Khmer Rouge dahulu, pantai-pantai di negara kita terutama di Pantai Timur menjadi tempat perlindungan bagi ribuan pelarian perang.

“Hari ini pula, kita masih menanggung kesan krisis pelarian Rohingya yang berpunca daripada penindasan junta tentera di Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wan Rosdy menjelaskan bahawa langkah yang diambil Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN dan Menteri Luar dalam memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja perlu didukung oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik.

Katanya, kejayaan Malaysia dalam mempertemukan pihak yang bertelagah sehingga berjaya memeterai perjanjian gencatan senjata merupakan satu pencapaian yang wajar dibanggakan.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila terdapat segelintir pihak yang memperlekeh dan memperkecilkan usaha rundingan tersebut termasuk menggunakan perumpamaan yang dianggap biadab.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak matang, malah mencerminkan kedangkalan moral dan intelektual apabila politik sempit dijadikan neraca kepada segala-galanya.

“Lebih mengecewakan apabila ia datang daripada pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan imej negara di mata dunia, malah memperlihatkan betapa rendahnya komitmen terhadap prinsip kemanusiaan dan perdamaian sejagat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menilai isu-isu antarabangsa secara matang dan berhemah.

“Jangan sesekali meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan untuk menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!