'Kerajaan Sabah perlu beza dengan Persekutuan untuk realisasi tuntutan 40 peratus' – Takiyuddin
Kerajaan negeri yang sama dengan Putrajaya dikhuatiri tidak mampu menuntut hak tersebut secara tegas kerana wujud tekanan

KOTA BHARU – Sabah hanya mampu merealisasikan sepenuhnya tuntutan 40 peratus hasil negeri sekiranya ditadbir oleh kerajaan baharu yang berbeza dengan kerajaan Persekutuan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri yang sama dengan Putrajaya dikhuatiri tidak mampu menuntut hak tersebut secara tegas kerana wujud tekanan yang mungkin menjejaskan proses rundingan.
“Kalau kerajaan Sabah nanti sama dengan Persekutuan, tuntutan 40 peratus itu tak akan memberi apa-apa makna.
“Sabah perlukan kerajaan baharu yang tidak sama dengan Persekutuan, barulah rundingan itu benar-benar menguntungkan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Ceramah Isu Semasa Sidang DUN Belanjawan Kelantan peringkat Parlimen Kota Bharu di Dewan Kelantan Trade Centre (KTC) di sini pada Jumaat.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad sejak 1974.
Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Persekutuan menjalankan semakan serta mengembalikan pembayaran berasaskan hak tersebut yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Seterusnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa proses rundingan teknikal diteruskan secara teratur berhubung tuntutan tersebut.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan bahawa perundingan hanya akan menjadi lebih efektif jika kedua-dua kerajaan itu adalah berbeza.
Ringkasan AI
- Sabah hanya boleh capai tuntutan 40 peratus hasil negeri jika diperintah oleh kerajaan berbeza dengan Persekutuan
- Kerajaan negeri sama dengan Putrajaya mungkin tidak tegas dalam menuntut hak tersebut
- Sabah perlu kerajaan baharu yang berbeza dari Persekutuan untuk rundingan menguntungkan rakyat
- Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan Persekutuan gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil sejak 1974
- Perundingan hanya efektif jika kedua-dua kerajaan berbeza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

