'Suasana gelap, menakutkan' - Penduduk trauma Gunung Sumeru meletus lagi

JAKARTA — Ratusan penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara pada Khamis selepas Gunung Semeru di Pulau Jawa meletus, mengakibatkan kerosakan pada rumah penduduk dan sebuah sekolah, serta memaksa hampir 190 orang dipindahkan dari kawasan lereng gunung,menurut pihak berkuasa.
Letusan yang berlaku pada Rabu petang itu, memuntahkan abu panas dan gas sejauh lebih 13 kilometer, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Menurut Agensi Geologi Indonesia, aktiviti gunung berapi itu dilaporkan telah berkurangan namun masih berada ditahap berjaga-jaga pada Khamis.
Pegawai Agensi Pengurusan Bencana, Sultan Syafaat berkata, hampir 900 penduduk kini berlindung di pusat pemindahan yang dibuka di sekolah, masjid dan dewan kampung.
“Pada waktu malam, ramai memilih untuk kekal di pusat pemindahan kerana masih trauma,” katanya kepada AFP.

Seorang penduduk, Faiz Ramadhani, menggambarkan letusan itu sebagai pengalaman yang menakutkan.
“Ketika itu jam empat petang, tetapi suasananya gelap seperti tengah malam keadaanya sangat menakutkan,” katanya.
Beberapa rumah berhampiran Semeru turut dilaporkan tertimbus sebahagiannya oleh abu gunung berapi dan serpihan batu.
Ketua Kampung Supiturang, Nurul Yakin Pribadi berkata, dia terkejut apabila mendapati rumahnya rosak akibat limpahan abu dari gunung berapi.
“Ada timbunan bahan gunung berapi setinggi satu meter di rumah saya. Banyak juga rumah penduduk rosak,” katanya.

Sekolah rendah musnah
Setiausaha Daerah Lumajang, Agus Triyono mengesahkan, sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah musnah sepenuhnya, dan pihak berkuasa sedang mengumpulkan data kerosakan infrastruktur.
Sementara itu, seorang pegawai penyelamat memaklumkan sekurang-kurangnya tiga orang mengalami kecederaan melecur.
Ketua Taman Negara Semeru, Rudijanto Tjahja Nugraha berkata, hampir 190 orang, kebanyakannya pendaki, sedang dipindahkan dari kawasan lereng selepas mereka terperangkap di tapak perkhemahan ketika letusan berlaku.
Gunung Semeru, setinggi 3,676 meter, pernah mencetuskan bencana besar pada Disember 2021 apabila letusan dahsyat mengorbankan sekurang-kurangnya 51 orang dan menenggelamkan beberapa kampung dengan abu tebal.
Indonesia yang berada di Lingkaran Api Pasifik mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif, menjadikannya antara negara yang paling kerap berdepan ancaman seismik dan letusan gunung berapi. -AFP

Maklumat Tentang Gunung Semeru
Lokasi dan nama Lain
-Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Indonesia dan antara yang paling aktif terletak di Jawa Timur, Indonesia, dalam wilayah Kabupaten Lumajang dan Malang.
-Ia juga dikenali sebagai Mahameru oleh pendaki dan masyarakat tempatan.
-Gunung ini berada dalam Taman Nasional Bromo Tengger Semeru.
Ketinggian dan topografi
-Puncak Semeru mempunyai ketinggian kira-kira 3,676 meter di atas paras laut.
-Terdapat kawah aktif dinamakan Jonggring Seloko di puncak gunung.
-Lava dan batuan gunung terdiri daripada jenis basaltik ke andesitik
- Ia merupakan Gunung Stratovolkano.
Sejarah letusan dan aktiviti vulkanik
-Semeru telah meletus secara tetap sejak sekurang-kurangnya 1967.
- Kali terakhir meletus pada bulan April 2025
- Beberapa letusan tercatat pada tanggal 1, 15, 22, dan 23 April.
- Letusan boleh menghasilkan awan panas (pyroclastic flow) dan aliran lava, serta abu gunung berapi.
Ringkasan AI
- Ratusan penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara selepas Gunung Semeru di Pulau Jawa meletus
- Letusan Gunung Semeru menyebabkan kerosakan pada rumah dan sekolah serta memaksa hampir 190 orang dipindahkan
- Pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi akibat letusan yang memuntahkan abu panas dan gas
- Hampir 900 penduduk berlindung di pusat pemindahan akibat trauma dengan kejadian letusan
- Sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah musnah sepenuhnya akibat letusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

