Poster hina Mursyidul Am Pas: Pemuda Pas hantar memorandum, DAP tetap pertahan Kah Leong

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan biadab Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang didakwa menghina Mursyidul Am Pas melalui poster tidak berakhlak ketika sedang menerima rawatan di hospital.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, perbuatan itu bukan sahaja memalukan, malah menunjukkan kewujudan budaya politik tidak bertamadun dalam kalangan pemimpin muda.
Menurutnya, penghinaan terhadap seorang pemimpin yang sakit adalah tindakan keterlaluan dan mencerminkan akhlak politik semakin merosot.
"Ini tindakan biadab dan tidak berakhlak. Politik seperti ini lapuk, tidak matang dan tidak wajar dibiarkan menjadi budaya negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohamed Sukri berkata, pemuda Pas Selangor bersama Siswa Pas hadir ke Pejabat DAP bagi menyerahkan memorandum bantahan sebagai mesej jelas bahawa politik Malaysia mesti dibina atas asas adab, hujah dan tanggungjawab serta bukan provokasi murahan.
Mohamed Sukri menegaskan, tindakan Kah Leong turut menjejaskan persepsi generasi muda terhadap politik serta menambah muak rakyat terhadap gaya politik hina dan provokatif.
Menurutnya, Pemuda Pas komited mengangkat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan menyifatkan penghinaan itu bercanggah sepenuhnya dengan nilai tersebut.
Beliau turut menggesa Kah Leong memohon maaf secara terbuka serta menarik balik poster berkenaan, selain mendesak Pemuda DAP itu memperbaiki budaya politik mereka.
"Kami tegas menolak politik jijik. Masa depan negara mesti dibina dengan politik beradab dan bermaruah,” katanya.
Sementara itu, Pemuda DAP Selangor tetap mempertahankan tindakan Kah Leong dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara atau memberikan tekanan politik melalui penggunaan memorandum yang berunsur ancaman dan kemunafikan politik.
"Kami menolak semua tuntutan dikemukakan oleh Pemuda Pas Selangor kerana memorandum ini bukan sebagai seruan kepada akhlak politik, tetapi sebagai kemarahan politik kerana dikritik.
"Jika Pemuda Pas begitu menekankan akhlak politik, mengapa mereka tidak pernah mengeluarkan memorandum terhadap pemimpin atau ahli mereka sendiri yang kerap kali mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kebencian agama atau penghinaan lebih biadab dalam media sosial dan di pentas ceramah?," jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pemuda DAP menuntut Pemuda Pas mengamalkan prinsip mereka sendiri secara konsisten.
"Pemuda Pas Selangor telah memperkenalkan konsep BPMS dan hairan bagaimana mereka boleh menjemput kami untuk menerangkan konsep BPMS apabila tindakan mereka sendiri bercanggah dengan apa dilaungkan.
"Kami bersetuju rakyat semakin muak dengan pergaduhan tidak produktif dan menuntut politik yang fokus kepada dasar dan penyelesaian masalah rakyat," jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menggesa Pemuda Pas untuk berhenti membuang masa dengan isu-isu yang tidak produktif dan berbaur politik peribadi.
"Kami menyarankan agar semua parti memperkukuh disiplin etika politik dan bukannya menggunakan memorandum sebagai alat untuk menutup mulut kritikan.
"Pemuda DAP Selangor akan terus komited untuk menjadi pembina landskap politik Malaysia yang lebih bermaruah, beretika dan bertamadun merangkumi kebebasan untuk menyuarakan kritikan keras dan lantang," tambah kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan Ketua Pemuda DAP menghina Mursyidul Am Pas
- Tindakan itu dianggap memalukan dan menunjukkan budaya politik tidak bertamadun
- Penghinaan terhadap pemimpin sakit dilihat sebagai tindakan keterlaluan dan akhlak politik merosot
- Pemuda Pas Selangor dan Siswa Pas menyerahkan memorandum bantahan ke Pejabat DAP
- Mereka menuntut Kah Leong memohon maaf dan menarik balik poster serta memperbaiki budaya politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

