[VIDEO] Tolak memorandum, DAPSY angkuh dan sombong - KP Pas Selangor
SHAH ALAM - Tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menolak memorandum bantahan diserahkan Pemuda Pas Selangor terhadap Ketua Pemuda DAP Malaysia, Woo Kah Leong mencerminkan keangkuhan dan kesombongan parti itu dalam arena politik tanah air.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan DAP menolak memorandum tersebut atas alasan ia bersifat politik tidak mengejutkan, namun rakyat sedang memerhati setiap gerak-geri parti itu.
“Tidak apalah, DAP tolak (memorandum) dan hendak buat macam mana tetapi rakyat sedang melihat apa yang dilakukan mereka, sikap mereka yang biadab.
"Tolak memorandum itu menggambarkan memang mereka hendak menunjukkan keangkuhan dan kesombongan mereka dalam politik tanah air ini. Oleh itu, tolak parti yang sombong di tanah air ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, Pemuda Pas Selangor bersama Siswa Pas hadir ke Pejabat DAP bagi menyerahkan memorandum bantahan sebagai mesej jelas bahawa politik Malaysia mesti dibina atas asas adab, hujah dan tanggungjawab serta bukan provokasi murahan.
Ia selepas Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang didakwa biadab ekoran memuat naik gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam keadaan terlantar di katil yang didakwa telah diubah suai.
Bagaimanapun, DAPSY Selangor tetap mempertahankan tindakan Kah Leong dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara atau memberikan tekanan politik melalui penggunaan memorandum yang berunsur ancaman dan kemunafikan politik.

Mohamed Shukri turut mengingatkan bahawa isu sakit atau keadaan mana-mana pemimpin tidak wajar dijadikan bahan politik, termasuk melibatkan Pas yang kini ada ahli kepimpinan sedang menerima rawatan di hospital.
“Mursyidul Am Pas sedang berada di hospital. Sepatutnya ia bukan mainan politik. Ketika Presiden Pas pernah sakit dan masuk hospital, Datuk Seri Najib Razak datang ziarah. Ertinya sewaktu sakit atau kematian, kita tidak politikkan perkara itu.
"Kita tahu waktu mana kita akan berpolitik, waktu mana kita berhenti berpolitik, tetapi membawa wajah manusia sebagai seorang manusia," ujarnya lagi.
Ketika mengulas kenyataan DAP Johor yang meminta Pas 'cermin diri sendiri dulu sebelum menuduh orang lain tidak beradab', beliau menegaskan rakyat telah melihat sendiri sikap biadab parti itu dalam pelbagai isu sebelum ini.
Beliau berpandangan rakyat telah melihat secara keseluruhan kebiadaban DAP dalam pelbagai isu sebelum ini dan parti terbabit sememangnya sinonim dengan biadab.
Mohamed Shukri menegaskan, Pas menawarkan budaya politik matang dan sejahtera untuk menoktahkan sebarang bentuk kebiadapan dan kurang bijak dalam politik, sedangkan apa yang ditunjukkan oleh DAP memperlihatkan sebaliknya.
“Biarlah pemimpin muda dalam politik itu berbahas tentang polisi, dasar, kepentingan dan maslahat rakyat, tetapi kita hendak lihat apabila kita sudah bawa perkara ini. Saya lihat DAP tidak berjiwa besar,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menolak memorandum bantahan dari Pemuda Pas Selangor Memorandum bantahan berkaitan dengan tindakan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang memuat naik gambar biadab Mohamed Sukri Omar, Ketua Pemuda Pas Selangor, menyatakan tindakan DAP mencerminkan keangkuhan mereka Memorandum bantahan itu dimaksudkan sebagai mesej bahawa politik Malaysia harus dibina atas adab dan tanggungjawab DAPSY Selangor mempertahankan kebebasan bersuara dan menolak percubaan politik melalui ancaman dalam memorandum
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

