Budak dua tahun terima pampasan RM3,000 akibat cedera di taska

KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mengarahkan pampasan berjumlah RM3,000 dibayar kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berhubung kecederaan yang dialaminya ketika berada di sebuah taska dua tahun lalu.
Kanak-kanak itu yang ketika kejadian baru berusia enam bulan, diwakili ibunya selaku plaintif melalui firma guaman MG’s Legal Chambers, manakala pihak taska selaku defendan diwakili peguam daripada Messrs Chieng dan Blasius.
Keputusan dibuat oleh Hakim Noor Hafizah Mohd Salim yang turut memerintahkan kadar faedah lima peratus setahun dikenakan ke atas jumlah pampasan tersebut, manakala kos guaman ditetapkan mengikut skala di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 26 Oktober 2023 apabila mangsa dilaporkan terjatuh dari katil bayi (baby cot) di taska berkenaan, berdasarkan laporan polis yang dibuat selepas kejadian.
Sementara itu, dalam kenyataan media pada Jumaat, pihak plaintif berharap keputusan mahkamah itu menjadi peringatan kepada ibu bapa serta pengusaha pusat asuhan kanak-kanak mengenai kepentingan aspek keselamatan dan tanggungjawab dalam menjaga anak-anak yang diamanahkan kepada mereka.
Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu memerintahkan pampasan RM3,000 kepada kanak-kanak perempuan yang cedera di taska
- Kanak-kanak berusia dua tahun itu diwakili ibunya dalam tuntutan itu
- Kadar faedah lima peratus setahun dikenakan atas jumlah pampasan
- Kecederaan berlaku akibat terjatuh dari katil bayi di taska pada 26 Oktober
- Pihak plaintif berharap keputusan menjadi peringatan tentang keselamatan dan tanggungjawab dalam jagaan anak-anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
