'Upah ejen cecah RM3,000, lagi rumit lagi tinggi bayaran'

Adzli (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Rabu.
Adzli (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR – Bayaran yang dikenakan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki Malaysia boleh mencecah sehingga RM3,000 seorang, bergantung kepada laluan darat dan tahap risiko perjalanan yang diatur sindiket.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan menunjukkan sindiket pemerdagangan manusia menggunakan pelbagai laluan darat, laut dan transit antarabangsa sebelum membawa migran masuk ke negara ini.

“Dalam satu kes, migran diterbangkan ke Bangkok, kemudian transit semalaman di Phuket dan seterusnya dibawa ke Sadao sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

"Bagi perjalanan lebih rumit seperti ini, upah tekong atau ejen boleh mencecah RM3,000. Kita percaya lagi susah nak masuk lagi tinggi bayarannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu.

Menurut Adzli, bukan semua individu yang terbabit sebagai pembantu perjalanan PATI sedar mereka menjadi sebahagian daripada rangkaian sindiket.

“Ada kes di Bukit Kayu Hitam bulan lalu, seorang penunggang motosikal hanya dibayar RM30 untuk membawa penumpang dari Danok ke Malaysia. Dia benar-benar tidak tahu penumpang itu adalah migran tanpa dokumen.

“Kita siasat secara menyeluruh, ambil keterangan migran, semak rakaman CCTV dan risikan. Kes sebegitu diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (NFA) kerana dia bukan anggota sindiket, hanya pemandu teksi motosikal biasa,” ujarnya.

Jelas beliau, statistik sepanjang lima tahun dari 2021 hingga November 2025, IPK Kedah telah membuka 111 kertas siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dengan 1,083 tangkapan direkodkan.

Menurutnya, majoriti tangkapan ialah warga Myanmar seramai 918 orang.

Artikel Berkaitan:

“Daripada 111 kertas siasatan, 91 kes berjaya dibawa ke mahkamah, lima diklasifikasikan sebagai NFA dan lima lagi masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi kes penyeludupan melalui Langkawi pula, Adzli berkata, kebanyakan PATI mendarat di kawasan Teluk Ewa atau Teluk Datai, sebelum dihantar ke rumah transit untuk bermalam.

“Selepas itu mereka akan dibawa ke Jeti Kuah dan menyamar sebagai penumpang domestik untuk ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Inilah kelompangan yang kita sedang baiki dengan penguatkuasaan lebih ketat.

"Untuk laluan daratan, migran dipercayai masuk menggunakan jalan tikus di sempadan," katanya lagi.

Adzli turut menggesa masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya melihat kehadiran individu mencurigakan di kawasan kediaman atau rumah tumpangan.

“Kalau lihat orang asing yang tidak dapat berkomunikasi dengan baik, laporkan secara rahsia kepada polis. Jangan biarkan mereka bergerak bebas sehingga membawa kepada kebanjiran PATI,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Bayaran untuk PATI memasuki Malaysia boleh mencecah RM3,000 seorang bergantung kepada laluan dan risiko perjalanan
  • Sindiket menggunakan laluan darat, laut dan transit antarabangsa untuk membawa migran ke Malaysia
  • Bukan semua individu yang terbabit sebagai pembantu sindiket sedar akan peranan mereka dalam pemerdagangan manusia
  • IPK Kedah telah membuka 111 kertas siasatan di bawah ATIPSOM dengan 1,083 tangkapan dari 2021 hingga November 2025, majoriti warga Myanmar
  • Adzli menggesa masyarakat menyalurkan maklumat tentang kehadiran individu mencurigakan untuk mengurangkan kebanjiran PATI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!