Budak dua tahun gigit ular tedung hingga mati
Reptilia berbisa itu menyerang dan melilit tangan budak tersebut

BIHAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di India mengejutkan komuniti setempat apabila dia menggigit seekor ular tedung hingga mati selepas reptilia berbisa itu melilit tangannya.
Insiden luar biasa itu berlaku di halaman rumah mangsa di Kampung Bankatwa, daerah West Champaran di Bihar, pada petang Jumaat lalu.
Menurut keluarganya, mangsa dikenali sebagai Govinda Kumar sedang bermain berdekatan rumah apabila dia terlihat ular tedung sepanjang kira-kira satu meter dan melemparkan secebis batu bata ke arahnya.
Ular itu kemudian menyerang dan melilit tangan Govinda sebelum dia bertindak balas secara spontan dengan menggigit kepala ular tersebut sehingga mati di tempat kejadian.
Neneknya, Mateshwari Devi berkata, ahli keluarga yang menyedari kejadian tersebut segera meluru ke arah Govinda, namun pada ketika itu ular berkenaan sudah tidak bernyawa akibat gigitan cucunya.
“Apabila kami nampak ular di tangan dia, semua orang terus menjerit dan berlari, tapi budak tu dah gigit kepala ular tu dulu,” katanya.
Bagaimanapun, selepas kejadian itu, Govinda dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke pusat kesihatan tempatan dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kolej Perubatan Kerajaan (GMCH) di Bettiah.
Pakar perubatan yang merawatnya, Dr Surab Kumar berkata, kanak-kanak itu mengalami kesan daripada bisa ular namun tidak membahayakan nyawa.
“Rawatan yang diberikan tepat pada masanya menyelamatkan nyawanya. Kami telah mengesahkan ular itu mati akibat kecederaan di kepala dan mulut dipercayai berpunca daripada gigitan kanak-kanak tersebut,” katanya.
Tambah beliau, pasukan perubatan kini sedang menjalankan rawatan berterusan serta memantau keadaannya yang dilaporkan stabil.
“Kami turut beberapa kali mengesahkan dengan ibu bapanya sama ada anak mereka benar-benar tidak digigit ular itu, bagi memastikan bisa tidak masuk ke dalam aliran darah,” ujarnya.
Govinda juga telah diberikan ubat anti-alahan dan kini masih di bawah pemantauan rapi doktor. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
