Masalah banjir di kawasan jajaran ECRL sedang diatasi
Kerajaan negeri maklum tentang masalah yang berlaku di sesetengah kawasan termasuk Pasir Puteh

KOTA BHARU – Masalah banjir dan takungan air semasa Monsun Timur Laut (MTL) di beberapa lokasi jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini termasuk di kawasan Pasir Puteh kini sedang dalam proses penyelesaian oleh pihak pemaju.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama pihak Malaysia Rail Link (MRL) dan kontraktor projek, syarikat China Communications Construction bagi membentangkan kawasan yang dikenal pasti bermasalah, merangkumi laluan-laluan yang kerap mengalami takungan air ketika hujan lebat.
“Kerajaan negeri sudah pun memaklumkan perkara ini kepada pihak ECRL.
“Mereka sedang mengambil tindakan termasuk membina saliran di kawasan terlibat supaya air dapat mengalir dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah berjumlah RM300 juta Permodalan Kelantan di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa dalam kejadian banjir musim lalu pada November tahun lepas, lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh terjejas apabila terowong pembinaan ECRL di kampung berkenaan ditakungi banjir akibat hujan lebat.
Mohd Nassuruddin bekata, susulan itu, langkah membina saliran terbabit penting bagi memastikan aliran air kembali normal dan mengurangkan risiko banjir termenung di kawasan berhampiran jajaran.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan rakyat menjadi keutamaan, terutama bagi mereka yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan projek mega tersebut.
“Bukan kesemua jajaran ada masalah ini, tetapi di sesetengah tempat terkesan dan kami harap akan diselesaikan dengan segera,” katanya.
Ringkasan AI
- KOTA BHARU – Masalah banjir dan takungan air semasa Monsun Timur Laut di Projek Laluan Rel Pantai Timur di Kelantan sedang diselesaikan
- Kerajaan negeri Kelantan mengadakan mesyuarat dengan MRL dan syarikat China Communications Construction tentang kawasan bermasalah
- Mereka sedang membina saliran di kawasan terlibat untuk memastikan air dapat mengalir dengan baik
- Lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh terjejas apabila terowong pembinaan ECRL ditakungi banjir
- Keselamatan rakyat menjadi keutamaan bagi mereka yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan projek mega tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

