Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh siap minimum lima tahun – Izham

Izham semasa menjawab pertanyaan pada Sidang DUN Selangor pada Jumaat.
Izham semasa menjawab pertanyaan pada Sidang DUN Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menjelaskan, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dijangka mengambil tempoh minimum lima tahun untuk disiapkan berikutan proses teknikal dan pentadbiran yang kompleks sebelum pembinaan dapat dimulakan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, perkara itu termasuk proses kajian terperinci, reka bentuk, pengambilan tanah, perolehan kontraktor, kerja-kerja pengalihan utiliti dan tempoh pembinaan fizikal yang lazimnya memakan masa dua hingga tiga tahun.

Menurut beliau, proses reka bentuk terperinci sahaja mengambil masa hampir setahun kerana kajian hidrologi dan hidraulik perlu dijalankan mengikut lembangan sungai dan bukannya secara terasing.

"RTB tidak boleh dilihat secara ‘isolation’. Setiap aliran air datang daripada anak-anak sungai dan kawasan tadahan.

"Sungai Buloh pula bukan lembangan utama kerana ia sebahagian daripada sublembangan Sungai Selangor yang jauh lebih besar dan sebab itu, proses kajian lama dan terperinci," katanya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ab Halim Tamuri (PN-Paya Jaras) yang meminta penjelasan mengenai jangkaan tempoh siap RTB Sungai Buloh dan keperluan penyediaan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja segera sementara menunggu projek utama dimuktamadkan.

Izham memaklumkan, pihaknya telah berbincang dengan juruperunding dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memendekkan tempoh kajian, namun proses itu sukar dipercepatkan kerana ia melibatkan kerja-kerja ukur, analisis rekabentuk dan penilaian teknikal yang wajib dipatuhi.

Selain itu, katanya, pengambilan tanah hanya boleh dimulakan selepas reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya.

"Kalau reka bentuk belum siap, kita tak tahu tanah mana perlu diambil dan berapa banyak.

Artikel Berkaitan:

"Proses ini pula sensitif kerana pemilik tanah boleh membuat bantahan sehingga membawa kes ke mahkamah sebagaimana berlaku pada projek Lebuhraya WCE, hal ini boleh melambatkan projek bertahun-tahun," tambah beliau.

Ujar beliau, apabila pengambilan tanah selesai, barulah proses perolehan dan tender boleh dijalankan yang lazimnya mengambil masa sekitar enam bulan.

"Jika projek dilaksanakan secara ‘turnkey’, kontraktor terus memulakan kerja reka bentuk dan pembinaan, namun jika tidak, proses tender perlu dilaksanakan secara berasingan," katanya.

Mengulas keperluan langkah sementara, Izham memaklumkan, kerajaan negeri sudah meluluskan RM27 juta untuk pelaksanaan pelbagai kerja-kerja segera bagi mengurangkan risiko banjir sebelum projek utama disiapkan.

"Antara langkah segera termasuk pembinaan sebuah ban baharu di Kubu Gajah 1 dan 6 yang telah banyak membantu mengurangkan impak banjir di kawasan berkenaan.

"Saya sendiri turun ke PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk melihat kaedah jangka pendek dan sederhana bagi mengurangkan risiko banjir.

"Setakat ini, saya telah melawat lapan PBT dan masih ada empat lagi yang akan dibuat," tambah beliau.

Ringkasan AI

  • Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dijangka akan mengambil tempoh minimum lima tahun untuk disiapkan kerana proses teknikal dan pentadbiran yang kompleks
  • Proses reka bentuk terperinci sahaja memakan masa hampir setahun berdasarkan keperluan kajian hidrologi dan hidraulik mengikut lembangan sungai
  • Sungai Buloh merupakan sebahagian daripada sublembangan Sungai Selangor yang memerlukan kajian yang lama dan terperinci
  • Pengambilan tanah hanya boleh dimulakan selepas reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya, membuat proses itu sensitif dan berpotensi untuk melambatkan projek
  • Kerajaan negeri Selangor telah meluluskan RM27 juta untuk pelaksanaan pelbagai kerja-kerja segera bagi mengurangkan risiko banjir sebelum projek utama disiapkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!