IIB perkukuh ketelusan, akauntabiliti tingkat keyakinan pelabur

Hari Integriti IIB 2025 dengan tema 'Keep It Real, Kekal Bersih' disertai lebih 600 pelajar sekolah, universiti dan kolej sekitar Johor serta rakan korporat sebagai usaha membentuk pemimpin masa depan berintegriti.
Hari Integriti IIB 2025 dengan tema 'Keep It Real, Kekal Bersih' disertai lebih 600 pelajar sekolah, universiti dan kolej sekitar Johor serta rakan korporat sebagai usaha membentuk pemimpin masa depan berintegriti.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Iskandar Investment Berhad (IIB) akan terus memperkukuh budaya ketelusan dan akauntabiliti yang menjadi asas kepercayaan awam, keyakinan pelabur serta pertumbuhan serantau mampan.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, nilai integriti tidak diukur melalui apa yang diperlihatkan secara terbuka, tetapi melalui tindakan konsisten walaupun tiada yang melihat.

Menurutnya, cara seseorang membuat keputusan dan memikul amanah merupakan gambaran sebenar keperibadiannya.

"Sebagai pemangkin pembangunan Iskandar Puteri, IIB memikul tanggungjawab bukan sahaja untuk membina sebuah bandar, tetapi juga memperkukuh asas kepercayaan yang menjadi tunjang tadbir urus dan etika perniagaan kami.

"Keupayaan kami menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bergantung pada keyakinan terhadap amalan tadbir urus kami.

"Tanpa integriti, tiada strategi atau infrastruktur yang mampu mengekalkan kepercayaan tersebut," katanya ketika berucap pada Hari Integriti dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) IIB di Kompleks Sukan EduCity di sini pada Khamis.

Hari Integriti IIB dengan tema 'Keep It Real, Kekal Bersih' tersebut disertai lebih 600 pelajar sekolah, universiti dan kolej sekitar Johor serta rakan korporat sebagai usaha membentuk pemimpin masa depan berintegriti.

Turut memeriahkan acara, sesi Integrity Talk Series (Siri Bicara Integriti), kuiz interaktif antirasuah dan reruai libat urus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rasuah Busters serta rakan agensi bagi menggalakkan dialog, selain memperkukuh kesedaran mengenai amalan tadbir urus yang baik.

Tambah Idzham, Hari Integriti tersebut turut menjadi penanda aras penting dalam agenda tadbir urus IIB dengan penerimaan pensijilan ISO 37001:2025 Anti-Bribery Management System (ABMS).

Artikel Berkaitan:

"Pengiktirafan antarabangsa ini mengesahkan kepatuhan IIB terhadap Seksyen 17A Akta SPRM 2009, sekali gus membuktikan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh kawalan dalaman, mempertingkatkan amalan tatakelakuan yang wajar serta memupuk budaya akauntabiliti di setiap lapisan operasi.

"Sepanjang 2025, IIB terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan SPRM melalui pelbagai inisiatif berorientasikan belia, termasuk Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawar) serta siri program libat urus di seluruh Johor," katanya.

 Idzham (kiri) dan Azmi (kanan) selepas menandatangani dokumen ikrar, sebagai simbol tanggungjawab serta akauntabiliti kolektif dalam memperkukuh amalan korporat yang jujur dan telus.
Idzham (kiri) dan Azmi (kanan) selepas menandatangani dokumen ikrar, sebagai simbol tanggungjawab serta akauntabiliti kolektif dalam memperkukuh amalan korporat yang jujur dan telus.

Menurut beliau, sebagai Master Developer bagi Flagship Zone B di Iskandar Malaysia dan pemangkin utama transformasi jangka panjang Johor, IIB terus menerapkan tadbir urus baik dalam setiap aspek operasinya.

Ujarnya, ia merangkumi perancangan dan pelaksanaan kawasan bandar lestari, pembinaan ekosistem pendidikan berorientasikan masa depan serta pengukuhan kerjasama awam–swasta yang menyokong pertumbuhan inklusif, selain memperkukuh kepercayaan komuniti.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, sektor pembangunan, pelaburan dan pembinaan dikenali pasti sebagai antara bidang paling berisiko tinggi terhadap rasuah terutamanya melibatkan projek besar serta keputusan perolehan bernilai tinggi.

"Rekod sebelum ini menunjukkan bagaimana kegagalan memelihara integriti membawa kepada projek terbengkalai kerana keputusan berat sebelah, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur global yang kini menitikberatkan aspek tadbir urus.

"Integriti mesti menjadi budaya teras organisasi dan bukan hanya diamalkan ketika acara rasmi. Pelabur hari ini menilai ketelusan, proses governans dan ketegasan sesebuah organisasi terhadap rasuah sebelum membuat keputusan pelaburan.

"Walau sehebat mana pelan pembangunan, tanpa integriti, sukar untuk perniagaan kekal relevan, dihormati dan dipercayai. IIB sebagai syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) penting di Iskandar Puteri harus menunjukkan teladan tinggi dalam ketetapan," katanya.

Tambah beliau, IIB turut komited memperkukuh budaya integriti apabila semua warga kerjanya telah menyelesaikan latihan antirasuah, selain memperkukuh Jabatan Governans, Risiko dan Pematuhan serta meneruskan kerjasama bersama SPRM setiap tahun.

Azmi turut menyentuh kepentingan amalan Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kini menjadi indikator utama pelabur global dalam menentukan destinasi dan rakan pelaburan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin turut berkongsi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar masa kini.

Ujarnya, kajian menunjukkan hampir semua pelajar pernah berinteraksi dengan teknologi seperti ChatGPT dan majoritinya menggunakannya untuk tugasan atau peperiksaan.

"Namun, realitinya penggunaan AI bukanlah satu kesalahan, ia adalah alat dan enjin carian yang boleh membimbing proses pembelajaran. Cuma yang menjadi persoalan ialah bagaimana ia digunakan, sama ada beretika atau sebaliknya.

"Dalam konteks pendidikan, isu plagiarisme bukan lagi sekadar kesilapan kecil. Ia merupakan bentuk penipuan akademik yang boleh menghancurkan masa depan pelajar.

"Di universiti, ramai pensyarah kini menggunakan sistem pengesanan untuk mengesan penipuan kerana semakin ramai pelajar mengambil jalan pintas," katanya.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, statistik global menunjukkan 95 peratus pelajar pernah mengaku menipu dalam tugasan atau peperiksaan, manakala sebahagian kecil turut menggunakan tugasan palsu yang dijana sepenuhnya oleh pihak ketiga.

"Fenomena ini bukan sahaja merosakkan integriti pelajar, malah mencabar kredibiliti pensyarah serta institusi pendidikan," ujarnya.

Menurut Nurhayati, kegagalan menjaga integriti dalam dunia akademik tidak berlaku secara tiba-tiba, ia bermula dengan tindakan kecil yang dianggap remeh seperti meniru di kelas, menyalin tugasan rakan atau menyerahkan kerja yang bukan hasil sendiri.

Tegas beliau, jika budaya ini tidak dihentikan di peringkat sekolah dan universiti, ia akan terbawa-bawa ke alam pekerjaan.

"Ketika integriti gugur, rasuah menjadi pintu seterusnya. Banyak kes rasuah berlaku kerana penipuan dokumen, salah guna kuasa dan tindakan menipu yang pada awalnya kelihatan kecil tetapi akhirnya memudaratkan.

"Dalam era digital, kita hidup dalam dunia yang dipenuhi unsur 'fake', muka palsu, berita palsu, data palsu, malah pencapaian akademik palsu. Jika pelajar menerima kepalsuan ini sebagai kebiasaan, mereka akan lahir sebagai graduan yang rapuh dan tidak mampu memimpin.

"Sebaliknya, mereka yang memilih untuk jujur dan mempunyai hasil kerja tulen akan menjadi emas yang dicari organisasi. Inilah maksud sebenar seruan 'keep it real', menjadi diri yang autentik di tengah-tengah kepalsuan teknologi moden," katanya.

Gerakan masyarakat seperti Rasuah Busters tegasnya, mengingatkan perjuangan melawan rasuah bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi milik seluruh rakyat.

Jelasnya, dengan wujudnya strategi antirasuah kebangsaan dan dasar digital negara, generasi muda perlu peka terhadap etika digital serta memahami bahawa integriti bukan hanya konsep moral, tetapi asas kepada pembangunan negara yang berwibawa.

"Dalam dunia politik dan media sosial, cabarannya lebih besar apabila kandungan boleh dijual, pandangan boleh dimanipulasi dan cerita palsu boleh dijadikan alat pengaruh. Di sinilah nilai integriti diuji.

"Allahyarham Tan Sri Profesor Kamal Hassan pernah menggariskan pelbagai nilai integriti yang menjadi asas pembinaan diri antaranya kepercayaan, kesabaran, keberanian, daya tahan diri dan ketulusan.

"Semua nilai ini penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berjaya secara akademik, tetapi mempunyai karakter kukuh," katanya.

Ringkasan AI

  • Iskandar Investment Berhad (IIB) memperkukuh budaya ketelusan dan akauntabiliti sebagai asas kepercayaan awam serta keyakinan pelabur
  • IIB menganggap integriti penting dan ia diukur melalui tindakan konsisten, bukan hanya apa yang diperlihatkan secara terbuka
  • Hari Integriti IIB melibatkan lebih 600 peserta dalam kalangan pelajar sekolah, universiti dan kolej serta rakan korporat untuk membina kepimpinan masa depan yang berintegriti
  • IIB telah menerima pensijilan ISO 37001:2025 Anti-Bribery Management System, mengesahkan kepatuhan mereka terhadap amalan antirasuah
  • Inisiatif antirasuah seperti Hari Integriti dan kerjasama dengan SPRM merupakan sebahagian usaha IIB memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kesedaran mengenai amalan yang baik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!