X

Kindly register in order to view this article
!

ZPP bantu guru agama, pemandu e-hailing, pekerja gaji harian

Gambar hiasan. (Gambar kecil Ahmad Zakiyuddin)
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan membantu guru agama, guru tahfiz dan pemandu e-hailing, pekerja gaji harian sepenuh masa yang terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, bagi pakej bantuan khas fasa kedua yang dilakukan susulan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

"Seramai 800 orang guru agama dan guru tahfiz akan menerima bantuan sebanyak RM500 sama seperti bantuan khas fasa pertama yang diumumkan sebelum ini.

"Bagi bantuan khas zakat fasa kedua ini, maklumat mengenai permohonan bantuan akan dimaklumkan melalui platform media sosial ZPP dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, dalam berdepan situasi sukar ketika ini, pihaknya faham banyak perniagaan yang tidak boleh beroperasi sekaligus menjejaskan pendapatan peniaga.

Bagi membantu golongan peniaga yang menyewa premis milik MAINPP, pihaknya memutuskan untuk memberi pengecualian satu bulan sewaan untuk bulan April 2020.

Selain itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, MAINPP akan mewujudkan Tabung Wira Negara bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada wira negara barisan hadapan yang bertugas di Pulau Pinang.

"Bantuan ini akan disalurkan kepada pasukan perkhidmatan kesihatan, pasukan keselamatan untuk membeli keperluan peralatan dan juga bekalan makanan.

"Buat permulaan pihak MAINPP akan menyalurkan dana sebanyak RM50,000 menggunakan hasil dana wakaf dan kami turut menyeru pihak korporat untuk turut sama menderma dalam Tabung Wira Negera MAINPP ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam (070205010036936).