MPP tak hantar laporan sejak dilantik: Annuar

Sinar Harian sebelum ini melaporkan 10 ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam satu kenyataan bersama mendesak perkhidmatan MPP sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan 10 ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam satu kenyataan bersama mendesak perkhidmatan MPP sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak menghantar laporan perbelanjaan peruntukan selain tidak melaporkan aktiviti dianjurkan menjadi faktor kesemua Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan Wilayah Persekutuan termasuk di Labuan ditamatkan perkhidmatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi laporan dikemukakan kepada pihaknya, beliau dimaklumkan sebahagian besar MPP yang dilantik tahun lalu tidak aktif malah tidak memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau ketika memberi maklum balas desakan 10 Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan yang mendesak perkhidmatan MPP sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak koronavirus (Covid-19) berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan kesemua wakil rakyat berkenaan.

“Sepatutnya mereka (ahli Parlimen) bertemu saya namun mereka memilih untuk membuat kenyataan media, ‘it’s ok’ tak ada masalah. Saya ucapkan terima kasih kepada Yang berhormat yang beri pandangan mereka tidak setuju kerana saya menamatkan perkhidmatan MPP di Wilayah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 10 ahli Parlimen desak khidmat MPP tidak ditamatkan

“Penamatan itu bukan bermakna tidak ada MPP, kita dapati MPP ini sangat penting tambah lagi dalam keadaan sekarang. Namun secara keseluruhannya saya lihat sebahagian besar MPP ini sama ada tidak aktif atau tidak berjalan mengikut SOP ditetapkan,” katanya menerusi sidang akhbar secara langsung di laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau berkata, lebih sebahagian MPP yang ada tidak pernah menghantar sebarang laporan walaupun peruntukan telah dibelanjakan sedangkan ketika dilantik kesemua mereka sudah dimaklumkan mengenai garis panduan dan peraturan.

“Mereka dikehendaki mematuhi garis panduan tertentu termasuklah mengemukakan laporan ke mana duit dibelanjakan dan apa aktiviti yang dibuat.

“Kita beri mereka elaun yang bukan sedikit tapi saya dapati MPP di 13 kawasan Parlimen tak pernah hantar laporan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, pihaknya akan melakukan penyusunan semula bagi memperkasakan fungsi MPP selepas ini.

Katanya, pihaknya sedang berunding dan akan mengambil pandangan pelbagai bagi memperbaiki kelemahan masa lalu.

“Ini tak akan ambil masa yang lama, tidak lebih 14 hari MPP akan berfungsi semula. Wakil rakyat boleh cadangkan nama yang mereka rasa boleh menjadi MPP. Kita nak lihat selepas ini mereka yang dilantik berfungsi dan memberi khidmat kepada penduduk secara adil tanpa fahaman politik.

“Saya akan tambah baik fungsi MPP supaya lebih gagah dan teratur,” katanya.

Terdahulu, 10 Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam satu kenyataan bersama mendesak perkhidmatan MPP sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara ini.

Mereka yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Menurut 10 ahli Parlimen tersebut, mereka dimaklumkan perkhidmatan semua ahli MPP di kawasan Parlimen sudah dihentikan berkuat kuasa Isnin lalu.