Komuniti Orang Asli desak pindaan Akta 134 dibuat secara adil, inklusif

Proses pindaan Akta 134 memberi kesan langsung terhadap kehidupan dan masa depan Orang Asli, namun komuniti terbabit masih terpinggir daripada rundingan penting yang sedang dijalankan. Gambar hiasan
Proses pindaan Akta 134 memberi kesan langsung terhadap kehidupan dan masa depan Orang Asli, namun komuniti terbabit masih terpinggir daripada rundingan penting yang sedang dijalankan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Masyarakat Orang Asli seluruh negara bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak komuniti itu menegaskan pendirian agar cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) digubal secara adil serta memenuhi keperluan masyarakat berkenaan.

Gabungan itu dalam satu kenyataan berkata, proses pindaan undang-undang tersebut memberi kesan langsung terhadap kehidupan dan masa depan Orang Asli, namun komuniti terbabit masih terpinggir daripada rundingan penting yang sedang dijalankan.

Menurut gabungan itu, usaha reformasi Akta 134 telah bermula sejak 2018 pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH), termasuk penyediaan satu memorandum pada 18 Mei 2019 oleh Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Pusat KOMAS, Bar Council, komuniti Orang Asli dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum dihantar kepada kerajaan dan Peguam Negara.

"Komuniti Orang Asli turut menyediakan memorandum baharu yang menuntut reformasi menyeluruh bagi melindungi dan mempertahankan hak masyarakat itu, dengan lebih 7,000 penandatangan daripada seluruh negara menyatakan sokongan," menurut kenyataan itu.

Gabungan itu menyambut baik kesediaan kerajaan meminda akta tersebut, namun menegaskan banyak peruntukan sedia ada bersifat paternalistik dan memberi kuasa terlalu besar kepada kerajaan Persekutuan serta negeri sehingga menafikan hak penentuan kendiri komuniti berkenaan.

Mereka berkata, kelemahan peruntukan tanah adat menyebabkan kawasan tradisi Orang Asli terus diceroboh, diambil sewenang-wenangnya dan dieksploitasi sehingga menjejaskan identiti, budaya dan kelangsungan komuniti.

Bagaimanapun, gabungan itu menyatakan cadangan pindaan ketika ini masih gagal mengiktiraf hak asas Orang Asli secara menyeluruh, terutama berkaitan tanah adat, kepimpinan komuniti, institusi adat dan hak penentuan kendiri.

Mereka turut menegaskan kuasa kerajaan dalam banyak perkara masih dikekalkan secara keterlaluan, manakala peranan komuniti tidak diperkukuh seperti yang diharapkan.

Selain itu, gabungan tersebut menyifatkan proses libat urus sebelum ini tidak memadai dan tidak mematuhi prinsip Free, Prior and Informed Consent (FPIC) kerana hanya dijalankan secara selektif melibatkan segelintir individu, tanpa merujuk majoriti masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa bahan perbincangan tidak diberikan lebih awal, masa terlalu singkat dan penjelasan terperinci terhadap seksyen undang-undang tidak disampaikan, menyebabkan proses tersebut tidak inklusif dan tidak telus.

Gabungan itu menuntut Kerajaan Madani memastikan draf pindaan memihak sepenuhnya kepada komuniti Orang Asli serta melalui proses libat urus penuh dengan perwakilan dipilih masyarakat, selain dibentangkan kepada komuniti secara menyeluruh sebelum dibawa ke Parlimen.

"Draf pindaan juga perlu dibawa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mendapatkan maklum balas komuniti," menurut mereka lagi.

Gabungan itu menegaskan pindaan Akta 134 perlu mengiktiraf kedudukan Orang Asli sebagai masyarakat asal negara, termasuk pengiktirafan hak tanah adat dengan perlindungan setara Rizab Melayu, pengiktirafan institusi adat setiap suku, pemilihan kepimpinan tanpa campur tangan politik atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta pengiktirafan adat perkahwinan dan perceraian sebagai sah.

Mereka berkata, Jakoa wajar berperanan sebagai fasilitator dan bukannya penentu dasar atau pembuat keputusan, manakala komuniti Orang Asli mesti diberi hak akses penuh kepada semua agensi kerajaan seperti rakyat Malaysia lain.

Gabungan itu turut menekankan kepentingan pengiktirafan undang-undang terhadap tanah dan wilayah adat seperti terkandung dalam memorandum bersama NGO Orang Asli.

Mereka menyeru Kerajaan Madani mendengar suara komuniti secara serius kerana masa depan Orang Asli tidak boleh ditentukan tanpa penyertaan mereka sebagai pemegang taruh utama.

Menurut mereka, pindaan Akta 134 hanya akan bermakna jika rundingan semula dilakukan secara inklusif, telus dan menghormati hak Orang Asli.

Gabungan itu turut merakam penghargaan kepada ahli Parlimen serta Pengerusi tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang memberi perhatian terhadap isu berkenaan membabitkan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi; serta Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

Gabungan itu berkata, mereka bersedia bekerjasama dengan semua ahli Parlimen bagi memastikan proses pindaan Akta Orang Asli 1954 berjalan dengan baik serta membawa manfaat kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.

 

 

Ringkasan AI

  • Gabungan Masyarakat Orang Asli dan NGO menuntut pindaan adil Akta Orang Asli 1954
  • Komuniti Orang Asli terpinggir dari rundingan pindaan undang-undang yang mempengaruhi mereka
  • Usaha reformasi Akta 134 bermula sejak 2018, tetapi cadangan pindaan gagal mengiktiraf hak asas Orang Asli sepenuhnya
  • Gabungan itu kritik proses libat urus yang dilakukan tidak inklusif dan tidak mengikut prinsip Free, Prior and Informed Consent
  • Mereka menyeru kerajaan untuk memastikan draf pindaan memihak kepada Orang Asli serta melibatkan komuniti secara langsung dalam rundingan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!