Lelaki Orang Asli sesat cari petai ditemukan lemah dalam ladang kelapa sawit

Mangsa mengalami kecederaan ringan. Foto: JBPM Perak
Mangsa mengalami kecederaan ringan. Foto: JBPM Perak
A
A
A

SLIM RIVER – Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari petai di Bukit Berdak, Ulu Slim sejak Ahad ditemui selamat selepas operasi pencarian digerakkan pelbagai agensi penyelamat.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi berhubung kehilangan mangsa sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dikatakan keluar mencari petai dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5, namun tidak pulang ke rumah menyebabkan bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Slim Village.

"Polis bersama penduduk kampung telah memulakan pencarian sejak malam tadi di kawasan Ladang Risda Ulu Slim dan menemui motosikal mangsa yang ditinggalkan di ladang tersebut, namun mangsa gagal dikesan.

"Operasi hari ini (Isnin) diteruskan dengan penyertaan pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta beberapa agensi lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shazlean berkata, mangsa berjaya ditemui pada jam 4.13 petang di kawasan ladang kelapa sawit, kira-kira dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di Dewan Orang Ramai.

Katanya, mangsa ditemui berada dalam keadaan lemah mengalami kecederaan ringan dan luka-luka kecil sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk diambil keterangan.

Operasi pencarian melibatkan 10 anggota dari BBP Slim River bersama empat aset jentera selain penyertaan lapan anggota polis, tujuh anggota APM, sembilan anggota Jabatan Perhutanan, tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village dan tujuh anggota Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.26 petang.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lelaki Orang Asli yang hilang ketika mencari petai di Bukit Berdak, Ulu Slim telah ditemui selamat
  • Operasi pencarian digerakkan oleh pelbagai agensi penyelamat selepas laporan kehilangan diterima
  • Mangsa keluar mencari petai dengan menaiki motosikal namun tidak pulang sehingga bapanya membuat laporan polis
  • Operasi pencarian melibatkan anggota bomba, APM, PGA dan beberapa agensi lain
  • Mangsa ditemui dalam keadaan lemah mengalami kecederaan ringan di kawasan ladang kelapa sawit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!