Hubungan China-Jepun makin tegang

Hubungan diplomatik antara China dan Jepun berada pada tahap paling tegang selepas kenyataan Perdana Menteri Jepun tentang Taiwan.
Hubungan diplomatik antara China dan Jepun berada pada tahap paling tegang selepas kenyataan Perdana Menteri Jepun tentang Taiwan.
A
A
A

TOKYO - Hubungan diplomatik antara China dan Jepun memasuki tahap paling tegang dalam beberapa tahun, selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai kemungkinan campur tangan ketenteraan Jepun jika Taiwan diserang.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi keras Beijing, yang menekankan kedaulatan mereka ke atas Taiwan, sementara Tokyo menegaskan ia adalah situasi hipotesis yang tidak akan ditarik balik.

Dalam ucapannya pada 14 November di Parlimen, Takaichi menjelaskan bahawa serangan bersenjata Beijing terhadap Taiwan, termasuk percubaan kawalan penuh menggunakan kapal perang, boleh dianggap sebagai situasi mengancam kelangsungan hidup Jepun.

Presiden China, Xi Jinping (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi. Foto AFP
Presiden China, Xi Jinping (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi. Foto AFP

Undang-undang keselamatan 2015 Jepun membenarkan Pasukan Bela Diri Jepun (JSDF) mengambil tindakan kolektif bersama sekutu, termasuk Amerika Syarikat, walaupun Jepun sendiri tidak diserang secara langsung, jika berlaku ancaman serius terhadap hak asas rakyat Jepun.

Kedudukan geografi Taiwan, hanya 110 kilometer dari wilayah Jepun dan sebahagian daripada First Island Chain, menjadikannya kritikal dari segi strategi pertahanan dan laluan perdagangan.

China menegaskan Taiwan adalah wilayahnya dan berikrar akan menyatukan pulau itu sama ada secara diplomasi atau ketenteraan. Namun, majoriti rakyat Taiwan menolak reunifikasi secara paksa, dan sebarang cubaan pencerobohan boleh mencetuskan konflik serantau atau global.

Sejarah lampau

Artikel Berkaitan:

Sejarah memainkan peranan penting dalam ketegangan ini. Taiwan berada di bawah penjajahan Jepun selama kira-kira 50 tahun sebelum Tokyo terpaksa menyerahkan kawalan kepada Republik China selepas Perang Dunia Kedua.

Kini, Parti Komunis China menuntut Taiwan sebagai wilayah, walaupun tidak pernah memerintahnya.

Di tengah ketegangan ini, risiko kemunculan konflik tidak boleh dipandang remeh.

Walaupun penganalisis menilai kemungkinan konfrontasi ketenteraan langsung adalah rendah, insiden kecil seperti rondaan pengawal pantai atau aluan penerbangan dron boleh mencetuskan salah faham yang mengakibatkan peningkatan ketegangan.

Selain risiko ketenteraan, perang 'kata-kata' antara China dan Jepun turut memberi impak ekonomi dan sosial.

Amaran Beijing kepada pelancong dan pelajar menyebabkan saham sektor runcit dan pelancongan Jepun jatuh, manakala penangguhan tayangan animasi Jepun di China menunjukkan tindak balas budaya dan ekonomi turut menjadi sebahagian strategi Beijing.

Pelancong China batal ke Jepun

Terbaharu, sekitar 500,000 tiket penerbangan ke Jepun dipercayai dibatalkan oleh pelancong China susulan amaran kerajaan Beijing kepada rakyatnya agar menangguhkan lawatan ke Jepun.

China pada Jumaat lalu mengeluarkan amaran perjalanan rasmi yang menasihati rakyatnya untuk mengelak Jepun buat sementara waktu.

Kumpulan pelancong China menunggu di kawasan membeli-belah Ginza di Tokyo, selepas China menasihati warganya mengelak daripada destinasi pelancongan tersebut susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengenai Taiwan. Foto AFP
Kumpulan pelancong China menunggu di kawasan membeli-belah Ginza di Tokyo, selepas China menasihati warganya mengelak daripada destinasi pelancongan tersebut susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengenai Taiwan. Foto AFP

Penganalisis penerbangan bebas, Li Hanming, yang memantau data tempahan tiket aktif sejak 2023, mendedahkan bahawa jumlah tempahan aktif ke Jepun menurun daripada kira-kira 1.5 juta pada 15 November kepada hanya 1 juta dua hari kemudian, menunjukkan sekurang-kurangnya 500,000 perjalanan telah dibatalkan.

Menurut Li, penurunan normal biasanya hanya sekitar lima peratus sehari, menjadikan penurunan 33 peratus itu amat ketara.

Konfontasi ketenteraan mungkin tidak berlaku dalam masa ini

Penganalisis menekankan bahawa walaupun konfrontasi ketenteraan langsung adalah tidak mungkin dalam jangka masa terdekat, peningkatan aktiviti di kawasan pertikaian seperti Kepulauan Senkaku dan zon pertahanan udara Taiwan meningkatkan risiko insiden yang boleh bertukar menjadi konflik.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te, menyeru komuniti antarabangsa untuk terus memberi perhatian dan meminta China menunjukkan sikap bertanggungjawab sebagai kuasa besar demi keamanan dan kestabilan serantau.

Sementara itu, pihak Jepun menyeru Beijing untuk kembali ke meja rundingan.

Jepun juga menegaskan komitmen kepada Perjanjian Bersama Jepun-China 1972, yang mengiktiraf kedudukan Beijing mengenai Taiwan, sambil mengekalkan dialog politik melalui dokumen-dokumen hubungan dua hala terdahulu.

Oleh itu, ketegangan Jepun–China mengenai Taiwan bukan sekadar perang kata, Keadaan ini memerlukan diplomasi berhati-hati untuk mengelakkan peningkatan konflik yang boleh menjejaskan keamanan di Asia Timur.- Agensi

 

 

Ringkasan AI

  • Hubungan diplomatik antara China dan Jepun berada pada tahap paling tegang selepas kenyataan Perdana Menteri Jepun tentang Taiwan
  • China menekankan kedaulatan mereka ke atas Taiwan, sementara Jepun tidak akan menarik balik kenyataan hipotesis campur tangan ketenteraan
  • Undang-undang keselamatan 2015 membolehkan Jepun bertindak bersama sekutu jika kelangsungan hidupnya terancam
  • Risiko kemunculan konflik serantau atau global tidak boleh dipandang remeh akibat ketegangan ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!