Rusia, China, Jepun bakal sertai GSF4: Misi bantuan Gaza terbesar Disember ini

Muhammad Azmi (kanan) bersama penerima Tokoh Sukarelawan Ummah Negeri Perak 2025, Muhammad Aqil Danish Razlan, 24, (tengah) sempena Majlis Perhimpunan Sukarelawan Penggerak Ummah dan Humaniti Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di Ipoh pada Sabtu.
Muhammad Azmi (kanan) bersama penerima Tokoh Sukarelawan Ummah Negeri Perak 2025, Muhammad Aqil Danish Razlan, 24, (tengah) sempena Majlis Perhimpunan Sukarelawan Penggerak Ummah dan Humaniti Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Rusia, China dan Jepun antara negara baharu yang bakal menyertai Konvoi Bantuan Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) edisi keempat yang bakal digerakkan Disember ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Muhammad Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan itu menunjukkan sokongan antarabangsa terhadap pembukaan laluan bantuan ke Gaza semakin meningkat dan melangkaui rekod edisi pertama yang disertai 44 negara.

"Sokongan dari negara yang menyokong edisi pertama dahulu masih berterusan dan kali ini kita cuba dapatkan sokongan dari 100 negara untuk menyokong misi keempat ini.

"Negara yang sebelum ini tidak pernah terlibat seperti Rusia, Jepun dan China telah pun berhubung dengan kita. Ada juga dari Australia dan New Zealand menyatakan kesediaan untuk mengikuti misi ini," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Azmi
Muhammad Azmi

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perhimpunan Sukarelawan Penggerak Ummah dan Humaniti Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini pada Sabtu.

Majlis dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAIPk, Saiful Azizi Abdul Manap dan turut dihadiri Naib Presiden MAPIM, Mohd Dzohiri Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Muhammad Azmi berkata, GSF edisi keempat disasar bergerak tidak lewat pertengahan Disember bermula di Tunisia, namun peserta perlu bersedia menghadapi keadaan musim sejuk yang mencabar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penganjur kini sedang memuktamadkan jumlah kapal terlibat, namun unjuran awal menunjukkan sekitar 200 kapal utama disokong 500 kapal pengiring.

"Misi kali ini kita mahu beri tekanan yang lebih besar untuk membuka laluan ke Gaza. Setakat ini, bantuan yang akan dibawa dianggarkan bernilai sekitar AS$10 juta (RM41.3 juta) dengan penglibatan lebih 1,000 peserta," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAPIM sedang meneliti penghantaran kira-kira 10 sukarelawan, termasuk golongan profesional seperti doktor dan jurutera, sejajar cadangan Perdana Menteri untuk memperkukuh persediaan membina semula Gaza sekiranya laluan bantuan berjaya ditembusi.

"Kita sedang berunding dengan Perdana Menteri untuk memuktamadkan pasukan terbaik yang akan dihantar,” katanya.

Mengulas perancangan Malaysia menghantar 200 kontena bantuan kemanusiaan, Muhammad Azmi berkata, pihaknya baru sahaja pulang dari Mesir bagi mendapatkan taklimat prosedur kemasukan bantuan melalui negara itu.

“Saya telah berunding dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia), beberapa agensi antarabangsa dan Duta Palestin.

"Kita sudah dapat garis panduan lengkap mengenai prosedur Mesir dan kini sedang menyelaras kaedah terbaik penghantaran kontena tersebut,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Rusia, China dan Jepun akan menyertai Konvoi Bantuan Kemanusiaan Global Sumud Flotilla edisi keempat pada Disember ini
  • Sokongan antarabangsa semakin meningkat dengan target sokongan dari 100 negara termasuk yang terbaru seperti Australia dan New Zealand
  • Konvoi edisi keempat ini bermula di Tunisia dan peserta dijangka menghadapi keadaan musim sejuk yang mencabar
  • Dijangkakan sekitar 200 kapal utama dan 500 kapal pengiring dengan bantuan bernilai kira-kira AS$10 juta dan lebih 1,000 peserta terlibat
  • MAPIM dan kerajaan Malaysia sedang merancang penghantaran 200 kontena bantuan kemanusiaan melalui Mesir dengan kerjasama WHO dan agensi antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!