Jakarta bakal tenggelam

JAKARTA – Paras laut di Pantai Mutiara, Jakarta Utara, kini melebihi permukaan tanah sekitarnya, menandakan situasi kritikal bagi ibu kota Indonesia yang semakin tenggelam.
Pemerhatian lapangan pada 17 November menunjukkan air laut menutupi paras tanah, yang hanya dihalang oleh benteng pantai.
Pakar menegaskan bahawa tanpa benteng ini, air laut berpotensi melimpah jauh ke daratan.
Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) melaporkan kawasan tertentu di Jakarta tenggelam antara 10 hingga 30 sentimeter setahun.
Fenomena ini berpunca daripada pemadatan semula jadi tanah aluvium serta pengambilan air bawah tanah secara berlebihan oleh kediaman, perniagaan dan industri selama beberapa dekad.
Tahap penurunan ini dilaporkan antara yang terpantas di dunia bagi sebuah bandar utama.
Penyelidik kanan Pusat Penyelidikan Oseanografi BRIN, Johan Risandi, menjelaskan bahawa paras air laut yang tinggi berpunca daripada gabungan air pasang melampau, angin bermusim, ombak besar serta faktor utama iaitu penurunan tanah.
“Air pasang boleh berlaku dua kali sebulan dan angin kencang menambah paras air. Tetapi faktor utama adalah penurunan tanah.
Di beberapa kawasan, tanah tenggelam sehingga 30 sentimeter setahun,” kata Johan.
Johan menambah, tanah aluvium lembut di Jakarta sememangnya mengalami pemadatan semula jadi, namun pengambilan air bawah tanah secara berlebihan mempercepatkan proses tersebut.
Pengambilan air oleh isi rumah dan industri tanpa kawalan menyebabkan tanah semakin mendap pada kadar yang membimbangkan.
Johan menegaskan benteng pantai perlu dinaikkan secara berterusan bagi menghalang air laut daripada memasuki kawasan kediaman.
“Benteng laut perlu dinaikkan selaras dengan paras air laut dan penurunan tanah. Kita perlu mengira peningkatan air akibat pasang dan ombak untuk menentukan ketinggian yang sesuai," ujarnya.
Selain langkah kejuruteraan, beliau turut mencadangkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti pemulihan hutan bakau bagi membantu memecahkan ombak sebelum sampai ke pantai.
Beliau turut menyarankan kawalan penggunaan air bawah tanah, termasuk pemantauan rapi terhadap jumlah pengambilan dan pergerakan tanah bagi memastikan semua peraturan dipatuhi secara adil dan berkesan.
Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), sebelum ini memberi amaran bahawa kegagalan benteng di Pantai Mutiara ketika air pasang besar boleh menyebabkan banjir menembusi jauh ke daratan, bahkan berpotensi mencapai kawasan Monumen Nasional (Monas) di Jakarta Pusat.
Situasi ini menimbulkan cabaran besar kepada sebuah bandar berpenduduk lebih 10 juta orang, dengan risiko keselamatan, infrastruktur dan kehidupan harian yang semakin meningkat.
Para pakar menegaskan bahawa tindakan segera dan bersepadu merangkumi gabungan infrastruktur, pemuliharaan alam dan pengurusan sumber air menjadi kunci melindungi Jakarta daripada ancaman banjir laut yang semakin serius. – Agensi
Ringkasan AI
- Paras laut di Pantai Mutiara, Jakarta Utara, sudah melebihi permukaan tanah yang hanya dipisahkan oleh benteng pantai
- Kawasan tertentu di Jakarta tenggelam hingga 30 sentimeter setahun akibat pemadatan tanah aluvium dan pengambilan air bawah tanah berlebihan
- Penurunan tanah menjadi faktor utama kenaikan paras air laut di Jakarta
- Penyelidik menyarankan benteng pantai dinaikkan sesuai dengan peningkatan air laut dan penurunan tanah
- Tindakan segera meliputi kombinasi infrastruktur, pemuliharaan alam, dan pengurusan sumber air diperlukan untuk melindungi Jakarta dari banjir laut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
