Kanak-kanak, remaja kritikal lemas mandi pantai

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak dan seorang remaja dilaporkan kritikal selepas ditemukan lemas di Pantai Rindu di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, dua mangsa perempuan masing-masing berusia 12 dan 16 tahun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, tujuh anggota digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.26 tengah hari.
“Terdapat dua mangsa lemas yang sedang mandi di pantai berkenaan, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga yang berada di lokasi dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan persendirian,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kedua-dua mangsa difahamkan dalam keadaan kritikal namun status terkini belum dapat dipastikan selepas mereka dibawa ke hospital.
“Berdasarkan maklumat daripada pengusaha pusat rekreasi tersebut, terdapat sekumpulan ahli keluarga mengadakan aktiviti di kawasan pantai berkenaan, namun pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kaitan dua mangsa tersebut.
“Operasi tamat pada jam 1.37 tengah hari,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
