Rusuhan Indonesia: Polis Jakarta tahan 1,240 penunjuk perasaan

Antara individu yang disyaki terlibat dalam demonstrasi jalanan di Jakarta. FOTO: AFP.
Antara individu yang disyaki terlibat dalam demonstrasi jalanan di Jakarta. FOTO: AFP.
A
A
A

JAKARTA - Polis Daerah Metropolitan Jakarta (Polda Metro Jaya) dilapor menahan 1,240 individu yang disyaki terlibat dalam demonstrasi anarkis di ibu negara Indonesia itu sejak 25 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Metro Jaya, Inspektur Jenderal Asep Edi Suheri berkata, majoriti mereka bukan warga Jakarta, sebaliknya berasal dari wilayah sekitar seperti Jawa Barat, Banten dan Jawa Tengah.

“Sejak awal kejadian hingga kini, kami telah menahan sekitar 1,240 orang. Mereka berasal dari luar Jakarta,” katanya selepas mesyuarat Forum Komunikasi Pimpinan Daerah (Forkopimda) di Balai Kota Jakarta pada Isnin.

Polis turut mengesahkan identiti pelaku perosakan dan penjarahan kemudahan awam telah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dirancang.

Antara kemudahan yang rosak termasuk halte Transjakarta, stesen MRT dan sistem CCTV bandar dengan kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah Rp55 bilion (RM17.2 juta).

Panglima Kodam Jaya, Mejar Jeneral Deddy Suryadi memaklumkan sebahagian besar peserta rusuhan terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan teknikal dan menyeru masyarakat agar turut menjaga keamanan bersama.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kekacauan, namun demonstrasi aman tetap dibenarkan selaras dengan hak perlembagaan. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!