Saya syak mungkin ada orang 'simpan’ Nur Qasehku - Ibu

Nur Qasehku Suhaimi, 15, dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu.
Nur Qasehku Suhaimi, 15, dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI]  “Kali ini saya syak mungkin ada orang ‘simpan’ dia.” 

Itu luahan penuh kegusaran seorang ibu yang masih menanti kepulangan anaknya, Nur Qasehku Suhaimi, 15, yang hilang sejak lebih sebulan lalu dan sehingga kini belum ditemui.

Remaja itu, yang mempunyai masalah mental, dilaporkan hilang pada 3 Oktober lalu dan kali terakhir dilihat di hadapan kedai 7-Eleven di Jalan Seri Krubong 2.

Menurut hebahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, usaha pencarian masih giat dijalankan.

Nur Qasehku dilaporkan mempunyai ketinggian 161 sentimeter, berat kira-kira 50 kilogram, berbadan kurus dan ketika kejadian memakai T-shirt hitam serta seluar hitam. Rambutnya juga difahamkan dalam keadaan botak.

Ibunya, Nurhazlin Mohd Nor, 44, berkata, kehilangan kali ini membuatkan beliau amat bimbang, lebih-lebih lagi kerana anaknya tidak membawa telefon, tidak berduit dan memerlukan ubat untuk keadaan kesihatannya.

Katanya, sebelum hilang, remaja itu mengadu sakit perut dan kepala sebelum meminta untuk membeli minuman ‘air cap badak’.

“Saya kata tunggu sekejap sebab saya nak siapkan sedikit kerja. Tak sangka dia dah naik motor dan pergi 7-Eleven tanpa bawa duit,” katanya.

Seorang lagi anaknya kemudian pergi mencari dan menemui motosikal serta kunci masih berada di situ, namun Nur Qasehku langsung tidak kelihatan.

Artikel Berkaitan:

Lebih membingungkan keluarga, pekerja di kedai serbaneka itu mengesahkan mereka mengenali remaja berkenaan tetapi memaklumkan bahawa dia tidak masuk ke dalam kedai pada hari kejadian.

“Kami dah cari kawasan sekitar tapi tak jumpa. Saya buat hebahan di Facebook pun belum dapat apa-apa petunjuk,” katanya yang mengakui ini bukan kali pertama anaknya hilang.

Katanya, tahun lalu, remaja itu ditemui semula selepas sembilan hari di Johor Bahru.

Namun kali ini, kata Nurhazlin, kebimbangannya jauh lebih besar.

“Saya tak tahu keadaan dia macam mana. Dia sakit dan perlu makan ubat. Sampai sekarang tak ada apa-apa petunjuk.”

Beliau merayu bantuan orang ramai membantu menjejaki anaknya, apatah lagi keadaan kesihatan remaja itu memerlukan pemantauan rapi.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Veramuthu di talian 013-4574988 atau tampil ke balai polis berhampiran.

 

 

Ringkasan AI

  • MELAKA - Nur Qasehku Suhaimi, 15, hilang lebih sebulan dan belum ditemui
  • Remaja itu mempunyai masalah mental, hilang sejak 3 Oktober lalu di hadapan kedai 7-Eleven
  • Nur Qasehku mempunyai ketinggian 161 sentimeter dan ketika kejadian memakai T-shirt serta seluar hitam
  • Ibunya, Nurhazlin Mohd Nor, bimbang kerana anaknya tidak membawa telefon, tidak berduit dan memerlukan ubat
  • Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!