[VIDEO] Tiada teknologi tempatan jejas pembangunan REE di Malaysia - Johari

A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengakui pembangunan industri nadir bumi (REE) di negara ini tidak dapat dilaksanakan dengan pantas disebabkan beberapa cabaran utama termasuk tiada kepakaran dan teknologi tempatan pada skala komersial untuk mengembangkan lagi sektor strategik berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, situasi itu menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada teknologi luar untuk menjalankan aktiviti perlombongan, meskipun mempunyai sumber berkenaan yang signifikan.

Selain itu, katanya, negara juga masih belum mempunyai loji pemprosesan yang mampu memisahkan unsur REE bernilai tinggi secara komersial.

“Pada masa ini, rantaian nilai global untuk pemprosesan dan pemisahan REE didominasi oleh China, termasuk kawalan terhadap eksport teknologinya.

“Kekangan ini menyukarkan Malaysia membangunkan keseluruhan rantaian nilai daripada perlombongan, pemprosesan, hingga penghasilan produk bernilai tambah,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Johari
Johari

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) mengenai cabaran dihadapi bagi membangun dan memajukan REE negeri serta perancangan dan pendekatan kerajaan bagi mengatasinya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, isu kekurangan data yang komprehensif berhubung lokasi, kuantiti, gred dan status guna tanah sumber REE juga antara kekangan yang turut dihadapi negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, anggaran awal sumber REE oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih pada peringkat sumber teragak dan memerlukan kajian terperinci lanjutan bagi menentukan jumlah sebenar yang boleh dilombong secara ekonomi dan lestari.

Ujarnya lagi, dasar kerajaan yang tidak membenarkan perlombongan dalam kawasan sensitif seperti Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), kawasan tadahan air dan rizab perlindungan turut mengehadkan pilihan lokasi yang sesuai bagi pembangunan industri ini.

“Langkah ini penting bagi menjamin keselamatan alam sekitar, namun pada masa yang sama memerlukan pendekatan berhati-hati untuk menyeimbangkan pembangunan industri dan pemeliharaan sumber semula jadi,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan, bagi mengatasi cabaran tersebut, kerajaan bersetuju supaya strategi pembangunan industri nadir bumi dilaksanakan secara berfasa meliputi jangka pendek (2025–2027), jangka sederhana (2027–2030) dan jangka panjang (selepas 2030).

“Pada fasa jangka pendek, dasar moratorium pengeksportan mentah REE dikekalkan bagi menggalakkan pelaburan dalam loji penulenan, pemisahan serta penghasilan produk bernilai tambah dalam negara.

“Seterusnya, pada fasa jangka sederhana, kerajaan menyasarkan pembinaan dan operasi loji pemprosesan tempatan serta menarik pelaburan dalam sektor hiliran bernilai tinggi seperti logam, aloi, super magnet dan komponen kenderaan elektrik,” katanya.

Beliau menambah, perancangan ini melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan dan perniagaan serta kerjasama antara pihak industri bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pemindahan teknologi.

Ringkasan AI

  • Kerajaan mengakui industri nadir bumi di Malaysia berkembang lambat disebabkan tiada kepakaran lokal dan teknologi komersial
  • Malaysia bergantung kepada teknologi luar untuk aktiviti perlombongan nadir bumi
  • Malaysia belum mempunyai loji pemprosesan yang boleh memisahkan unsur REE secara komersial
  • Isu kekurangan data komprehensif tentang sumber REE turut menjadi kekangan
  • Strategi pembangunan industri nadir bumi dilaksanakan secara berfasa: jangka pendek (2025–2027), sederhana (2027–2030), dan panjang (selepas 2030)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!