X

Kindly register in order to view this article
!

Kes buang ikan cuma isu terpencil-NEKMAT

Abdul Hamid menunjukkan bekalan ikan sejuk beku yang boleh dibeli melalui platform media baharu seperti NekmatBiz.
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyifatkan isu tindakan nelayan membuang ikan ekoran penutupan pasar dan kurang sambutan orang awam selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya kes terpencil sahaja.

Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari berkata, beliau mengakui ada nelayan terpaksa membuang ikan mereka, namun kes berkenaan tidak terlalu meluas.

Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapati kes berkenaan adalah bersifat terpencil dan hanya melibatkan ikan baja sahaja.

"Tidak dinafikan, memang berlaku lambakan ikan sebelum ini hingga ada pihak terpaksa membuang ikan mereka.

"Namun, ia hanya kes terpencil dan kini bekalan ikan mula mendapat permintaan semula dalam kalangan pengguna," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha membekalkan ikan kepada pengguna selain di pasar nelayan.

"Jadi, pengguna hendaklah mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika mendapatkan bekalan ikan, seperti penjarakan sosial di pasar.

"Kini, ada peraih yang akan membeli ikan dengan jumlah banyak seperti 500 kilogram (kg) untuk dijual di kawasan bandar yang sukar mendapatkan bekalan," katanya.

Katanya, ada juga individu yang kini masuk ke kawasan pedalaman untuk membekalkan ikan kepada penduduk kampung demi membolehkan mereka mendapatkan bekalan seperti biasa ketika tempoh ini.

"Tidak ketinggalan, kita juga menyediakan platform media baharu seperti NekmatBiz yang membolehkan pengguna membuat tempahan dalam talian sebelum bekalan dihantar kepada mereka,"katanya.

Menurutnya, pihaknya memberi jaminan bekalan ikan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna bukan hanya di Kedah tetapi di seluruh negara.

Katanya, harga ikan ditawarkan kepada pengguna juga kini kembali murah apabila boleh didapati sekitar tiga hingga lima kilogram (kg) untuk RM10.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan bahawa sektor perikanan terancam dengan sekatan waktu operasi pasar awam apabila nelayan terpaksa membuang ikan susulan penutupan pasaran dan kekurangan sambutan orang awam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus