Keluarga di Gaza 'kesejukan dan basah kuyup', PBB gesa sekatan ditarik balik

Seorang kanak-kanak lelaki Palestin mengutip plastik berhampiran sebuah peluru yang tidak meletup di kawasan pembuangan sampah di pasar Firas, Bandar Gaza. Foto AFP
Seorang kanak-kanak lelaki Palestin mengutip plastik berhampiran sebuah peluru yang tidak meletup di kawasan pembuangan sampah di pasar Firas, Bandar Gaza. Foto AFP
A
A
A

HAMILTON (Kanada) - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata, rakyat Palestin di Gaza berdepan situasi kemanusiaan yang semakin merosot apabila hujan pada musim sejuk menyebabkan banjir, memusnahkan barangan serta meningkatkan tekanan dalam kalangan keluarga yang hilang tempat tinggal, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Rakyat Palestin di seluruh Gaza kini berada dalam keadaan sejuk dan basah kuyup berikutan hujan baru-baru ini, di samping rasa kecewa yang semakin meningkat apabila banjir melanda dan apa sahaja yang tinggal pada mereka turut musnah,” kata Jurucakap Farhan Haq memetik kenyataan ketua bantuan PBB, Tom Fletcher.

Haq berkata, beliau (Fletcher) menegaskan bahawa PBB dan rakan-rakannya sedang digerakkan untuk membantu, namun bantuan yang jauh lebih besar amat diperlukan.

Fletcher berkata, sekatan yang masih dikenakan perlu ditarik balik bagi membolehkan lebih banyak bantuan masuk dengan segera.

Beliau turut memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang menegaskan bahawa PBB dan rakan kerjasama di lapangan "komited untuk menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa, termasuk tempat perlindungan.”

"Petugas kemanusiaan terus mengagihkan khemah, terpal dan barangan keperluan lain kepada keluarga yang terjejas, selain menilai keperluan orang ramai,” katanya.

Haq memaklumkan bahawa Penyelaras Kemanusiaan untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Ramiz Alakbarov meluluskan "AS$18 juta daripada dana bagi menyokong operasi kritikal di seluruh Gaza menjelang ketibaan musim sejuk dan hujan lebat yang semakin memburukkan keadaan hidup yang daif.”

Berhubung kempen vaksinasi yang dilancarkan awal November, beliau berkata lebih "7,000 kanak-kanak bawah usia tiga tahun telah divaksin dalam tempoh lima hari pertama pelaksanaannya.” - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Rakyat Palestin di Gaza berdepan situasi kemanusiaan yang semakin teruk akibat banjir musim sejuk
  • PBB dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk membantu namun memerlukan lebih banyak bantuan
  • Sekatan yang dikenakan perlu ditarik balik untuk membolehkan bantuan masuk dengan segera
  • Petugas kemanusiaan mengagihkan khemah, terpal dan barangan keperluan lain kepada keluarga yang terjejas
  • Penyelaras Kemanusiaan untuk Wilayah Palestin meluluskan AS$18 juta bagi menyokong operasi kritikal di Gaza menjelang musim sejuk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!