Malaysia pertimbang jika ditawarkan sertai ISF di Gaza - Mohamad

MEMBAKUT - Malaysia akan memberi pertimbangan sewajarnya jika ditawarkan untuk menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad berkata, ISF bukanlah misi pengaman tradisional di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebaliknya sebuah pasukan penstabilan dengan mandat operasi berbeza.
"ISF di Gaza berbeza dengan tentera pengaman yang biasa diluluskan oleh PBB.
"ISF ini ada di dalam terma-terma dia iaitu engagement dan untuk mereka menyah tenterakan pasukan-pasukan yang bertempur di Gaza itu,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditemui selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsulok, Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut di sini pada Selasa.
Menjelas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung penyertaan dalam misi berkenaan.
"Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet untuk diputuskan tetapi belum ada lagi jemputan kerana menurut apa yang telah pun diberitakan bahawa Mesir, Israel dan juga Amerika Syarikat yang mengurus ISF ini," katanya.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga akan meneliti terma rujukan ISF yang masih belum diperincikan sepenuhnya serta akan mendapatkan pandangan daripada negara-negara lain sebelum membuat keputusan.
"Kami tidak berapa jelas sangat apa terma-terma di dalamnya, biar kami hadam betul-betul dan berunding dengan negara-negara lain. Saya hendak berunding dengan rakan-rakan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), rakan-rakan daripada Liga Arab,” katanya.
Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia juga akan mendapatkan pandangan negara anggota serantau.
Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini meluluskan cadangan penubuhan pasukan antarabangsa bagi membantu memulihkan keselamatan dan kestabilan di Gaza pascakonflik. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia akan memberi pertimbangan jika ditawarkan menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza ISF di Gaza merupakan pasukan penstabilan dengan mandat operasi berbeza, bukan misi pengaman tradisional PBB Misi ISF ialah untuk menyah tenterakan pasukan-pasukan yang bertempur di Gaza Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat keputusan muktamad berhubung penyertaan dalam ISF Malaysia akan berunding dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam dan Liga Arab sebelum membuat keputusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
