Masyarakat dunia digesa terus hulur bantuan kepada Palestin

Fauziah (tiga dari kanan) bersama barisan sukarelawan Sumud Flotilla.
Fauziah (tiga dari kanan) bersama barisan sukarelawan Sumud Flotilla.
A
A
A

SEREMBAN - Masyarakat dunia digesa untuk terus menyalurkan bantuan kepada Palestin meskipun gencatan senjata telah bermula bulan lalu.

Presiden Asia Pacific Women's Coalition for Al-Quds and Palestine (ApWCQP), Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, ini kerana Israel masih terus mengganas dan ramai yang mengalami kebuluran terutama kanak-kanak.

Fauziah
Fauziah

"Ramai orang ingat bila dah gencatan senjata kita dah boleh bertenang, tapi sebenarnya gencatan senjata itu tak dilaksanakan sepenuhnya.

"Seperti mana yang kita tahu di Gaza ini ada garisan kuning, bermakna 50 peratus dari kawasan Gaza yang kecil itu, masih dijajah oleh Israel.

"Jadi anak-anak kita masih berada dalam kebuluran, hidup susah dan perlu sokongan solidariti daripada kita semua," katanya ketika berucap pada program 'Seed Of Hope In Gaza, Charity Hi-Tea dan #Quranhour For Gaza' di sini pada Ahad.

Peserta yang hadir program 'Seed Of Hope In Gaza, Charity Hi-Tea dan #Quranhour For Gaza.
Peserta yang hadir program 'Seed Of Hope In Gaza, Charity Hi-Tea dan #Quranhour For Gaza.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan program minum petang amal yang diadakan, beliau berkata, ia bertujuan mengumpul dana sekurang-kurangnya sebanyak RM350,000 bagi menyediakan keperluan buat 500 bayi di Gaza yang berdepan kekurangan zat makanan.

Jelasnya, dengan bantuan tersebut setidak-tidaknya dapat memberi harapan kepada anak-anak ini untuk terus hidup dan membesar dengan baik.

"Kita sememangnya perlu berdoa, tetapi pada masa sama perlukan strategi dan tindakan.

"Sebab itulah kita perlu meluaskan perjuangan membebaskan Palestin dan majlis minum petang amal ini juga sebagai salah satu usaha mengumpulkan dana bagi membantu rakyat Palestin," katanya.

Program berkenaan dianjurkan oleh ApWCQP, Global Women's Coalition For Al-Quds and Palestine, Malaysia Women's Coalition For Al Quds and Palestine, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Wanita Perkim Seremban.

Turut diadakan sesi tadabur ayat al-Quran dan perkongsian pengalaman para sukarelawan Sumud Flotilla antaranya Farah Lee.

Selain itu, lima karya seni yang antaranya bermotifkan Palestin telah dilelong dan lebih RM100,000 sumbangan telah berjaya terkumpul daripada RM350,000 yang disasarkan.

Ringkasan AI

  • Masyarakat dunia digesa untuk terus menyalurkan bantuan kepada Palestin meskipun gencatan senjata telah bermula
  • Israel masih mengganas dan ramai kanak-kanak di Gaza mengalami kebuluran
  • 50 peratus dari kawasan Gaza masih dijajah oleh Israel
  • Program minum petang amal bertujuan mengumpul dana RM350,000 untuk menyediakan keperluan 500 bayi di Gaza
  • Lebih RM100,000 sumbangan telah berjaya terkumpul dari program tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!