Kontroversi serbuan pesantren: Ketua Polis Sukoharjo digugurkan

JAKARTA – Tindakan polis Indonesia menyerbu sebuah pondok pesantren khusus perempuan pada awal pagi ketika penghuninya sedang tidur mencetuskan kontroversi sehingga membawa kepada pengguguran Ketua Polis Daerah Sukoharjo, Jawa Tengah daripada jawatannya.
Ketua Polis Sukoharjo, AKBP Andika Dharma Sena, bersama tiga pegawai bawahannya turut dinyahaktifkan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur serta penggunaan kekerasan berlebihan dalam operasi tersebut.
Insiden yang berlaku pada 27 Oktober lalu kira-kira jam 3.20 pagi itu melibatkan operasi di Pondok Pesantren Hamalatul Quran, Sukoharjo, yang menempatkan 12 pelajar perempuan berusia antara 10 hingga 16 tahun serta empat tenaga pengajar wanita.
Berdasarkan maklumat awal yang diterima Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM), operasi berkenaan melibatkan anggota daripada Polis Wilayah Jawa Tengah, Polis Daerah Sukoharjo dan Briged Mobil (Brimob).
Serbuan itu dilaporkan mencetuskan panik dalam kalangan penghuni asrama apabila anggota keselamatan memasuki kawasan berkenaan ketika mereka sedang berehat.
Pihak pengurusan pesantren turut mendakwa beberapa pelajar perempuan berdepan tindakan intimidasi termasuk diacukan senjata, dimarahi dan dipaksa membuka tudung semasa operasi dijalankan.
Dakwaan tersebut mendapat perhatian Komnas Perempuan yang menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kekerasan serta pencabulan hak wanita dan kanak-kanak dalam pelaksanaan operasi berkenaan.
Bagaimanapun, pihak polis menegaskan operasi itu dijalankan berdasarkan keperluan siasatan jenayah serta mendapat kebenaran penggeledahan daripada mahkamah.
Menurut pihak berkuasa, operasi tersebut bertujuan mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes pembakaran, perosakan dan ugutan terhadap sebuah premis makanan dikenali sebagai Mi dan Babi Tepi Sawah di Desa Parangjoro, Sukoharjo pada 12 September lalu.
Kontroversi tercetus apabila cara operasi dijalankan dipersoalkan oleh pihak pengurusan pesantren dan masyarakat awam, khususnya kerana ia melibatkan penghuni yang terdiri daripada kanak-kanak perempuan.
Susulan bantahan berterusan, Ketua Biro Penerangan Masyarakat Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, pada 2 November mengesahkan bahawa Andika dan tiga pegawai lain digugurkan sementara daripada jawatan masing-masing.
Tiga pegawai terbabit ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Iptu AS; Ketua Unit Jenayah Umum, Ipda FA; dan Ketua Unit Perlindungan Perempuan dan Kanak-Kanak, Ipda RAP.
Menurut Trunoyudo, tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada tanggungjawab moral dan institusi susulan aduan yang dikemukakan pihak pesantren.
Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap trauma yang didakwa dialami pelajar perempuan dan tenaga pengajar akibat kejadian tersebut.
Siasatan kini dijalankan menerusi dua saluran berasingan iaitu penelitian terhadap pelaksanaan operasi oleh Polis Wilayah Jawa Tengah dan siasatan dalaman mengenai kemungkinan pelanggaran etika oleh Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Indonesia.
Dalam masa sama, Komnas HAM menggesa satu siasatan bebas dijalankan bagi memastikan proses penguatkuasaan undang-undang tidak mengabaikan hak kanak-kanak, wanita serta privasi penghuni institusi pendidikan.
Pihak pengurusan pesantren pula meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didedahkan secara telus bagi membantu menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku ketika operasi berkenaan.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai batas kuasa penguatkuasaan polis, khususnya apabila operasi melibatkan institusi pendidikan yang menempatkan kanak-kanak dan golongan rentan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
