Buang bayi satu tragedi kemanusiaan

KES melibatkan jenayah pembuangan bayi terus menjadi satu masalah di negara ini.
Terbaru, seorang bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat yang ditemukan di sebuah tandas di rumah kampung dekat kawasan Sungai Dua, Butterworth pada 13 November lalu.
Pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang awam kira-kira jam 6.28 pagi.
Hasil pemeriksaan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mendapati bayi itu masih hidup dan cukup sifat.
Bayi itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tindakan susulan.
Bayi bukan sekadar jasad kecil yang memerlukan perhatian, tetapi juga merupakan harapan dan kesinambungan generasi dalam sesebuah masyarakat serta negara.
Dalam Islam, kelahiran seorang bayi dianggap sebagai amanah daripada ALLAH SWT.
Ia bukan sekadar tanggungjawab fizikal, tetapi juga tanggungjawab rohani dan moral.
Islam menekankan bahawa pembinaan insan bermula sejak dari buaian, malah lebih awal lagi melalui pemilihan pasangan, penjagaan ibu hamil serta suasana rumah tangga yang harmoni.
Apabila bayi dibesarkan dengan bimbingan yang baik, mereka bukan sahaja membawa keberkatan kepada keluarga, bahkan memberi impak besar kepada pembangunan negara.
Pada 25 Mac tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan sebanyak 509 kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku dalam tempoh 2018 hingga Februari 2024.
Tiga negeri yang mencatatkan jumlah kes kumulatif tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu Selangor dengan 111 kes, diikuti Johor (64) dan Sabah (56).
Menurutnya daripada jumlah itu, 50 kes atau 9.82 peratus telah dituduh di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Angka ini menggambarkan realiti pedih, nyawa bayi hari ini begitu murah, diperlakukan seolah-olah sampah, dibuang tanpa belas kasihan.
Sedangkan mereka mungkin menjadi pemimpin masa depan — doktor, jurutera, pendidik, ahli ekonomi, ahli sains atau pembuat dasar negara.
Justeru, inisiatif ‘baby hatch’ telah dilaksanakan di negara ini sebagai usaha penyelamat nyawa yang memberi peluang kedua kepada bayi-bayi terbuang itu.
‘Baby hatch’ adalah ruangan khas yang direka untuk membolehkan ibu meninggalkan bayi mereka secara rahsia dan selamat.
Ruang ini dilengkapi dengan sistem khas yang memaklumkan petugas sebaik sahaja seorang bayi diletakkan di dalamnya.
Perlu diingatkan bahawa inisiatif ‘baby hatch’ tidak sepatutnya dilihat sebagai galakan kepada perbuatan tidak bermoral, sebaliknya lebih kepada usaha menyelamatkan nyawa.
Isu pembuangan bayi tidak lagi boleh dianggap insiden terpencil. Ia merupakan kecemasan sosial yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan penyelesaian akar umbi.
Kerajaan, agensi pelaksana, institusi agama, sekolah, NGO, media dan masyarakat perlu berganding bahu.
Pendidikan seksual bertanggungjawab, sokongan psikologi, saluran bantuan krisis kehamilan luar nikah serta penguatkuasaan undang-undang harus diperkasa.
Sebagaimana pepatah “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, penyelesaian hanya akan tercapai melalui kesatuan usaha.
Menyelamatkan seorang bayi bererti menyelamatkan masa depan sebuah bangsa.
Setiap nyawa itu bernilai, dan setiap anak layak menikmati kasih sayang serta peluang hidup. Jangan sampai kita menjadi masyarakat yang hilang rasa kemanusiaan.
Kerana akhirnya, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Tanggungjawab menjaga generasi masa depan adalah kewajiban bersama, bukan pilihan.
* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

