'Jika asyik bagi alasan, 240 tahun pun tidak cukup tampal jalan'

SAYA tersenyum lega di tempat duduk di Dewan Rakyat selepas mendengar Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.692 bilion menerusi Belanjawan 2026, bertambah 3.3 peratus berbanding RM10.349 bilion bagi 2025.
Bagaimanapun, senyuman itu tidak bertahan lama kerana seakan ada suara kecil jauh di sudut hati saya yang bertalu-talu bertanya: “Apakah itu mencukupi? Dapatkah semua rakyat menerima manfaatnya?”
Persoalan itu ringkas tetapi sarat maknanya. Sudah semestinya KKR menghargai kepercayaan dan sokongan kerajaan untuk KKR meneruskan inisiatif utama iaitu meningkatkan kualiti, kemampanan dan kelestarian infrastruktur negara dan kemudahan awam selamat serta selesa untuk rakyat.
Seperkara yang sering saya tekankan kepada semua kakitangan di KKR: “Masa akan pantas berlalu jika kita tekun bekerja dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.”
Kita semakin menghampiri penghujung 2025 dan peringatan paling penting untuk KKR merangka persiapan menghadapi tahun baharu ialah Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ yang dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Di sebalik hambatan masa untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar, saya meletakkan janji kepada rakyat sebagai penanda aras tertinggi untuk dipenuhi.
Pemerkasaan KKR harus bermula dan berakhir dengan rakyat, seiring asas pentadbiran Kerajaan Madani.
Daripada keseluruhan peruntukan, jumlah belanjawan mengurus KKR yang diluluskan ialah RM1.085 bilion, kenaikan 6.1 peratus berbanding RM1.022 bilion tahun ini yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti KKR dengan kemahiran serta teknologi terkini.
Belanjawan pembangunan 2026 yang diluluskan berjumlah RM9.607 bilion berbanding RM9.327 bilion bagi 2025, kenaikan tiga peratus, antara lain memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan baharu serta kesinambungan projek infrastruktur sedia ada.Keselamatan rakyat
Saya kerap mendapat maklum balas mengenai inisiatif Program MYJalan yang banyak membantu rakyat membuat aduan dan menjadikan mereka berasa dekat dengan agensi pelaksana.
Sejumlah RM2.5 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan.
Program ini akan terus memastikan jalan raya di seluruh negara berkeadaan baik, selamat dan selesa serta menjadi pemangkin utama kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat.
Mengapa saya kerap menyentuh inisiatif MYJalan? Kerana keselesaan adalah hak kita bersama dan saya tegaskan berkali-kali bahawa tiada masalah yang terlalu kecil atau terlalu besar untuk diselesaikan. Aduan daripada pengguna di Putrajaya dan di Kiulu, Sabah sama pentingnya bagi KKR.
Kekerapan menaiki kenderaan darat membolehkan saya meneliti sendiri keadaan di lebuh raya. Perjalanan waktu siang dengan waktu malam memberi perspektif berbeza kerana mata kasar memandang keperluan mengikut masa.
Dengan peruntukan Belanjawan 2026, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memasang 3,000 lampu LED baharu di lokasi berisiko kemalangan di lebuh raya, supaya rasa selamat menjadi jaring selamat atau safety net semua pengguna.
Membelah lebuh raya bermakna saya memerhatikan cerun di kiri dan kanan laluan. Sejumlah RM260 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.
Pelaksanaan langkah ini dibuat secara berterusan tanpa mengira cuaca panas atau hujan yang boleh menyebabkan berlaku pergerakan tanah tanpa amaran.
Saya tidak melihatnya sebagai sekadar cerun, tetapi nilai nyawa manusia.
Sejumlah RM30 juta diperuntukkan kepada 115 Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan kerja-kerja yang memerlukan pembaikan segera seperti turapan atau tampalan jalan, pembaikan perabot jalan, mengecat garisan jalan yang pudar, pembaikan kecil ke atas sambungan pengembangan, pembaikan segera akibat bencana serta pembaikan lampu jalan dan lampu isyarat.
Kontraktor tempatan diperkasa
Dalam usaha memperkukuh pemerkasaan kontraktor tempatan, peruntukan untuk kontraktor kecil Bumiputera Kelas G1–G4 meningkat daripada RM450 juta pada 2025 kepada RM700 juta tahun depan, pertambahan RM250 juta atau 55.6 peratus.
Langkah itu akan memberi peluang lebih luas kepada kontraktor kecil menyertai kerja penyelenggaraan jalan, meneroka potensi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, selain memperkukuh rantaian industri pembinaan negara.
KKR sentiasa komited membangunkan wilayah merentasi sempadan geografi, maka semestinya Sabah dan Sarawak turut menikmati limpahan Belanjawan 2026.
Pelaksanaan projek strategik seperti Pan Borneo Sabah, Sabah–Sarawak Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) diteruskan bagi memperkukuh jaringan pengangkutan darat serta meningkatkan akses rakyat di kedua-dua negeri.
Pelaksanaan pelbagai projek itu akan memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penjimatan masa perjalanan, peningkatan keselamatan dan keseimbangan pembangunan wilayah.
Pada masa sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan peruntukan RM10 juta bagi memperkukuh latihan, pensijilan serta pembangunan kemahiran kontraktor Bumiputera dan belia dalam industri pembinaan.
CIDB turut mengutamakan aspek penerapan teknologi baharu dan amalan pembinaan hijau selaras agenda ekonomi bernilai tinggi dan kelestarian negara.
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memulihkan daya tahan fiskal negara sambil memastikan pelaburan terus disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas di bandar dan desa.
Akses jalan raya yang selamat dan selesa sudah tentu akan menyumbang kepada kerancakan ekonomi yang lebih makmur demi manfaat rakyat.
Birokrasi minimum
Belanjawan yang dibentang setiap tahun bukan sekadar penyaluran peruntukan yang kemudian diagih kepada agensi berkaitan.
Sebagai menteri, saya mahu memastikan setiap gerak kerja memberi nilai tambah dan rakyat menyedari bahawa Kerajaan Madani terus bekerja.
Pada masa sama, saya amat mementingkan aspek integriti dan tatakelola. Amanah diberi mesti dilaksana dalam kerangka kerja yang sihat, persekitaran yang kondusif serta kejujuran tanpa perlu diingatkan setiap masa.
Cukup atau tidak peruntukan diberi bukan persoalannya. Apa yang penting ialah bagi semua agensi KKR melaksanakan tanggungjawab tanpa bertangguh dan mengurangkan kerenah birokrasi ke tahap paling minimum.
Kita mempunyai 24 jam yang sama. Jika bijak mengatur masa, semuanya akan terlaksana mengikut perancangan, namun jika kita lebih sibuk memikirkan alasan, 240 tahun pun tidak mencukupi untuk menampal lubang di jalan.
*Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

